Sunday, September 9, 2012

BAHAGIA TANPA SYUKUR

Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa melayu, shiuu-shiuu mengalunkan rambut ikal mayang ala rockers Din dari tepi tingkap. Dia termenung. Jauh berfikir. Merenung diri. Muhasabah diri. Dia seringkali merasakan hidupnya tidak bahagia. Terlampau banyak masalah melanda diri, konflik diri. Itu belum cerita emaknya yang sibuk membebel bila hendak kahwin. Tension! Makanya malam itu, dia termenung sendirian. Teringat pula dia kepada sebuah tazkirah yang dia dengar sewaktu dia TERbuang tabiat tiba-tiba mendengarkan ikim.fm suatu petang yang hening.

Kita tinggalkan Din sendirian bermuhasabah diri, kita kembali ke persoalan pokok. Heh. Bahagiakah kita tanpa syukur?

1. Harta dan Material

"Untunglah ada parents kaya raya, apa nak semua dapat. Hidup bahagia. Bukan macam aku. Nak itu ini semua tak dapat." 
Suatu hari, Din mengomel sendirian, melihatkan sahabatnya Liyana yang punya ibu bapa kaya, segala kehendaknya sentiasa dipenuhi. Melancong ke luar negara, gadjet sentiasa bertukar-tukar. Yana punya macam-macam gadjet, sedangkan dia ada nokia torchlight cuma. Peroleh duit poket yang banyak mengalahkan gaji mereka yang memerah keringat mencari sebutir nasi. Dia lupa bahawa sebutir beras itu ibarat setitik peluh petani. Eh.

Oh typo di situ. Heh. Sumber: 9gag
Kan? Kadang-kadang kita sendiri mengaku hidup kita tak bahagia. Kita simpulkan, orang yang punya harta dunia yang banyak, boleh beli segala yang dihajati, mereka bahagia. Huh. Kita lihat orang lain punya banyak harta, kita compare pula kebahagiaan dia dan kita. Ish. Tidak patut. Dan tidak, punya harta tidak semestinya bahagia. Bukan itu erti kebahagiaan. Apa guna punya banyak harta tetapi hidup tidak tenang memikirkan dia akan disoal di akhirat nanti tentang ke mana duitnya mengalir. Untuk agama ini, atau untuk keduniaan? Heh. Jarang sekali orang fikir begini. Kebanyakannya hanya risaukan keselamatan harta mereka. *Zrappp. terkoyak telinga.


Oh betapa murahnya kebahagiaan yang kita cari. Sekadar harta, pangkat dan keduniaan. Oh kita tidak tahu bahawa segala itu tidak semestinya akan mententeramkan hati. Oh kita tidak tahu bahawa ada orang yang punya harta benda, tetapi hatinya tetap kosong, kerana jauh daripada Ilahi. Oh kita lupa bahawa Saiyidina Uthman bin Affan daripada saudagar yang kaya raya tinggal sehelai sepinggang demi hijrah ke Madinah, demi Islam. Oh kita tidak tahu bahawa yang berkuasa mengurnia bahagia itu Allah, bukan harta. Maka mengapakah kita tidak mahu bersyukur?

2. Dipandang tinggi manusia

"Best kan jadi macam dia, semua orang pandang. Retis ler katakan. Famous you! Ada sponsor, baju semua free. Muka setiap hari keluar tv, keluar surat khabar. Pasty ada peminat. Oh jealousnye I. Mesti dia rasa bahagia gileww kan?" Ujar Lisa kepada rakannya (Nama sebenar Khalisyah, tapi sebab minat sangat dekat Lisa Surihani,  (menulis sambil menahan daripada mengeluarkan muntah hijau. Uwek.)

Geli tak geli. Hakikatnya memang ramai daripada kita yang mahukan perhatian. Menjadi kebanggaan bagi sesetengah kita dapat masuk akhbar atau tv walau gambar sekecik pemadam stabilo sekalipun. Heh.

Oh mereka tidak sedarkah bahawa golongan retis selalu diperhatikan masyarakat dan paparazzi. Segala tindak tanduk baik buruk sangat berisiko untuk disebarkan untuk tatapan khalayak ramai. Oh, mahukah anda orang lain melihat aib anda, mengetahui rahsia anda? Lebih buruk lagi jika khabar buruk yang palsu tersebar tentang anda? Oh tidak. Itu bukan bahagia. Maka mengapakah anda tidak mahu bersyukur? Bukankah bersederhana itu lebih baik? Mahu nampak bagus pada pandangan manusia, tapi mengabaikan pandangan Allah terhadap kita. Itu sumpah menggelikan. 

3. Punya pasangan romantik

"Ustaz, saya jealous la tengok kawan-kawan saya yang dah kahwin. Suami mereka romantik, jalan pegang-pegang tangan. Suami saya agamanya ok, tanggungjawab dijalankan, tapi.. Dia kurang romantik."

Apa? Tak percaya? Eh betul lah. Haritu terdengar dekat ikim.fm, seorang ustaz menceritakan begitu. Hmm. Kat dunia ni, ramai isteri mengeluh suami ganas, suami tidak bagi nafkah, suami kurang meluangkan masa bersama keluarga, suami tidak melaksanakan tanggungjawab, suami lepas tangan. Tapi yang sudah dapat suami yang baik mengungkit pula soal romantik. Benar, sungguh indah hidup berkeluarga andai punya suami romantik. Tapi punya suami yang bertanggungjawab itu sudah cukup indah. Punya suami yang baik agamanya itu indah. Mana tahu mungkin suami itu tidak biasa dengan perempuan, sebab itu dia kurang romantik. Tapi asas agamanya kukuh, isterinya dijaga supaya terelak dari menuju ke lembah neraka. Itu sudah cukup bagus. Ada orang lain, isteri buat dosa dibiarkan, tidak dibimbing. Kata cinta. Kalau betul cinta, mesti mahu bersama hingga syurga- Hilal Asyraf.

Bagaimana mahu bahagia andai ada sahaja yang kita tidak puas hati. Huh. Eh aku juga tak reti ber romantik. erk.

Rasulullah SAW bersabda:
“Lihatlah orang yang di bawah kamu dan jangan melihat orang yang di atas kamu karena dengan (melihat ke bawah) lebih pantas untuk kamu tidak meremehkan nikmat Allah yang dilimpahkan-Nya kepada kamu.” (HR. Al-Bukhari dan Muslim)

"Apakah patut mereka itu dengki kepada manusia disebabkan kelebihan yang Allah berikan kepada mereka?" (an-Nisa 4:54)

Allah. Bagaimanakah mahu kita raih bahagia dan redhaMu andai hasad dan penyakit wahan terus bersarang dalam hati.  (wahan = cinta akan dunia dan takut kepada mati)
Bagaimana mahu kita raih bahagia andai kita terus tidak bersyukur dan tidak puas dengan dunia, tetapi tidak pula kita kejar akhirat.
Bagaimana mahu kita bahagia, andai kita terus melihat orang yang lebih daripada kita pada suatu aspek, namun tidak pula kita lihat akan nikmat yang telah Allah kurniakan kepada kita? Ya. Kita kena berusaha yang terbaik, untuk dapatkan yang terbaik. Namun jika apa yang kita dapat tidak sebaik yang kita sangka, kita perlu terus berusaha, dan bukannya merungut, dan membandingkan kebahagiaan kita dengan orang lain. Kerana ujian kita begini, ujian mereka lain pula. Kita tidak tahu.

Mengapa harta, pangkat, dan segala mak nenek dunia yang kita pandang? Oh kita ini sudah jauh daripada tujuan asal kita hidup di dunia ini. Orientasi hidup kita sudah berubah ke arah keduniaan, ironinya setiap kali solat kita bersaksi bahawa solat kita, hidup kita, mati kita hanya untuk Allah.

Bahagia tanpa syukur. Mustahil. Dan kebahagiaan yang hakiki adalah di akhirat sana, saat kita masuk syurga, saat janji Allah ditepati. 

p/s: Teringat pula cicipan (baca = tweet) seorang sahabat. Bunyinya lebih kurang begini, " Kadang-kadang mengatakan 'Aku tak pandai' dan 'Aku tak kaya' bukan lagi merendah diri, tetapi seakan-akan tidak bersyukur akan nikmat Allah.".. Zrap. Erk. Pengajarannya, nak merendah diri, berpada-pada. Kata begini pun bagus, "Alhamdulillah. dan Amiin. terima kasih doakan aku. Semoga kau pun dapat apa yang kau doakan untuk aku." (sambil sengih). Dapat pahala tahmid, dan didik hati untuk bersyukur. Daripada kita salah konsep merendah diri. 

Kembali kepada Din. "Ya ALLAH, jadikanlah aku golongan yang SEDIKIT. Iaitu golongan yang bersyukur kepadaMu." *Berlalu pergi sambil mengalirkan air mata.

1 comment:

Fishy said...

Ameen.. moga kita tergolong dalam golongan itu.

nice post! Jzkk

Gadgets By Spice Up Your Blog