Saturday, September 1, 2012

Erti Kemerdekaan Kita



Tangan-tangan yang diangkat serentak itu diperhatikan. Seketika, kumat-kamit pada mulut pula kelihatan. Dan diikuti pula alunan suara penuh lunak dari peti suara yang mengetuai di hadapan. Cukup syahdu. Entah kenapa, hati tua itu terusik.

Bayu laut membelai mereka di pesisiran itu. Namun, tidak seorang pun dari kumpulan tersebut yang terusik. Tetap berdiri. Masing-masing bagaikan dalam satu dimensi yang lain. Bagaikan hanyut dalam persembahan ritual tersebut.

Dan mereka membongkok.
Dan mencecahkan dahi kepada tanah.
Menambahkan lagi kerutan pada dahi wajah tua tersebut.
Tanpa sedar, ramai lagi yang turut sama berkerut dahi memandang kumpulan pedagang Arab tersebut.
Ada yang tersenyum, menangis dan tak kurang yang mencebik. Malah hinaan juga terdengar.

Dan bermula dari detik itu, sinar iman Lailahaillah Muhammad Rasulullah tersebar luas ke setiap pelosok Kepulauan Melayu tersebut.




Amalan penyembahan berhala ditinggalkan.
Budaya dan adat Hindu dan Buddha ditapis dalam amalan masyarakat.

Para pemimpin turut sama terasa tempiasnya. Sehinggakan, pertukaran ilmu pesat berjalan antara kerajaan-kerajaan di Kepulauan Melayu, mewujudkan ikatan silaturrahim yang bernaung atas dasar iman antara pemimpin.

Nama Tanah Melayu begitu gah di bawah naungan sayap rahmat Islam.

Namun, semua yang tercatat di Lauh Mahfuz tiada yang berdaya menghalang. Kedatangan Portugis mencengkam Tanah Melayu. Selepas Portugis, Belanda mengambil alih. Diikuti campur tangan british. Semuanya bermodalkan landas sama; penguasaan bahan mentah. Sejarah tercatat sedemikian. Pemikiran generasi sekarang teracun. Hakikat peluasan kuasa oleh kuasa barat untuk kehancuran empayar Islam dan penyebaran agama kristian oleh pihak penjajah disembunyikan.

Suara ulama bergema di seluruh Kepulauan Tanah Melayu. Tok Janggut membela Kelantan. Haji Abdul Rahman Limbong berjuang demi Terengganu. Dol Said bersama pahlawan tahfiz mempertahankan wilayah Naning.Serta pahlawan Tanah Melayu yang lain.

Ada yang syahid di medan tempur.
Ada yang syahid di tali gantung.
Ada yang dibuang negeri.
Kerakyatan terlucut di tanah air sendiri.
Namun yang tercatat, mereka berjuang demi sekeping tanah, pangkat dan jawatan, serta  kepentingan kewangan.


Sehinggalah termeterai satu perjanjian. Agama Islam di bawah bidang kuasa Sultan-sultan Melayu, manakala bidang lain di bawah bidang kuasa Residen.
Dan dari saat itu, bermulalah fahaman sekularisme yang menular ke hari ini.

Dan kita masih belum merdeka.

Sehinggalah golongan nasionalis menuntut kemerdekaan.

Laungan merdeka kedengaran saban tahun.
Merdeka terlaung dengan masyarakat yang masih berpenyakit sekularisme.
Merdeka terlaung dengan budaya kuning yang semakin membarah.
Merdeka terlaung dengan gejala sosial yang semakin nazak.
Dan inilah kemerdekaan yang kita rai.

Inilah erti kemerdekaan kita.

Dan kita masih belum merdeka.
  
[Erti kemerdekaan kita]
Dan bukanlah niat saya memulakan rasism.
Cuma meluahkan kebenaran.
Regards,
Habiburrahim.

1 comment:

Inspector Saahab said...

kita masih dibelenggu, bernaung di bawah sistem jahiliyah,ciptaan manusia, bukan di bawah naungan Islam, sistem ciptaan Tuhan

Gadgets By Spice Up Your Blog