Thursday, January 24, 2013

Rasulullah SAW



Bukit itu dikerumuni sekalian manusia. Orang pasar, peniaga, pedagang, tak kurang para pembesar. Kesemua bola mata memandang susuk tubuh tersebut.

Terik matahari dibuat tak endah. Lelaki tampan itu membuka mulut.
“Wahai Bani Fihr, wahai Bani Ady, wahai semua kaum Quraisy!” teriakan itu melantun dari bibir yang tak lekang dengan senyuman. Lantang. Lembut bahasanya. Menyusup jelas ke dalam telinga sekalian pemerhati.

Penduduk Quraisy kesemuanya menanti bicara indah Sang Terpuji.

“Apa pendapat kalian sekiranya kukhabarkan sepasukan berkuda bersenjata lengkap mengepung, siap menyerbu Makkah dan melumatkannya?”

Bibir sekaliannya berebut menjawab lontaran tanya itu.
“Kami belum pernah mendengar khabar dusta darimu Muhammad!”
 “Benar.”
“Engkau yang bergelar al-Amin mana mungkin terlontar kata dusta.”

Dan lelaki indah itu masih dengan senyumannya. Indah. Terik matahari menyimbah seluruh tubuh penuh sempurna itu.

“Sesungguhnya, aku adalah pembawa peringatan dari sisi Allah sebelum datangnya…”

“Tabban laka ya Muhammad! Alihaadza jama’tanaa?!! Binasa engkau wahai Muhammad! Apakah untuk urusan seremeh ini kami dikumpulkan?!!” pantas bicara indah Sang Rasul itu dipotong lelaki tampan berkulit putih, bermata juling dengan telunjuk teracung marah pada susuk indah di atas bukit Safa.

Dan cemuhan itu turut diperhati si pemuda di sudut lainnya. Sudut yang sememangnya berlainan memang. Terpisah oleh dimensi masa dan tempat. Fikirannya menerewang. Bukan pada bicara hina duri dalam dakwah Islamiyyah itu. Bukan pada bicara saksi dakwah Baginda. Bukan pada kata-kata yang membenarkan setiap lontaran suara Sang al-Amin.

Tapi pada bicara ilmi Sang Nabi.
Pada tutur kata sempurna Sang Rasul.
Pada suara dakwah Sang Rahmat Sekalian Alam.

Mencari jawapan di sebalik kata.
Mencari jawapan dengan meletakkannya dirinya sendiri di Bukit Safa.

Apa mungkin seseorang dari kalangannya sendiri mengaku sebagai pembawa utusan kebenaran?
Bagaimana mungkin si ayahandanya, atau mungkin jiran tetangga, atau mungkin anak saudaranya sendiri mengaku sebagai Nabi.

Dan dia mula membayangkan sendiri perit jerih Baginda SAW.
Entah. Apa jawapannya?
Apa jawapan sanggupnya Baginda?

Wajahnya diangkat dari buku sirah tersebut. Baginda Rasul…

Mungkin, jawapannya helaian yang dikhatamnya berbulan-bulan yang lalu. Pada kisah kematian Abdullah ibn Ubay, Bapa Munafik sezaman dengan Rasulullah SAW.

‘Umar  mengah. Segala perbuatan kejahatan khianat Abdullah dihemburkan. Dia menghalang. Tegas menghalang.

Utusan langit itu masih dengan senyumnya. Lembut namun tegas. Tetap pada pendirian baginda.

Dan saat, detik itu menyaksikan nuzul at-Taubah, ayat 9.

(Orang-orang munafik itu) sama sahaja engkau meminta ampun untuk mereka atau engkau tidak meminta ampun bagi mereka. Jika engkau (wahai Muhammad) meminta ampun bagi mereka tujuh puluh kali (sekalipun) maka Allah tidak sekali-kali mengampunkan mereka yang demikian itu, kerana mereka telah kufur kepada Allah dan RasulNya dan Allah tidak akan memberi hidayah pertunjuk kepada kaum yang fasik.

“Hai ‘Umar,” sabda Sang Nabi, “jika sekalipun Allah memaafkan Abdullah ibn Ubay pada pohon keampunanku lebih tujuh puluh kali, akan aku pohon keampunan ke atasnya.

Jawapannya. Mungkin.

Mungkin juga pada kata-kata akhir Baginda Nabi.

Usia tua tidak memudarkan senyum indahnya. Wajah itu indah sekalipun di lewat usia. Peluh bersimbah pada wajah putih Baginda. ‘Aisyah menggenggam erat tangan RasulullahSAW.

“Apa nasib ummahku wahai Izrail?” Bibir indah itu lagi sekali menuturkan.

Adin menutup buku di tangan. Buku sirah. Kalau nak dikira, dah berkali-kali khatam muka-ke muka. Tapi ada persoalan berlegar pada fikirannya.

Jawapannya pada satu kata.
Cinta.
Love.
Lyubov’.
Amor.

Kerana cinta itu agung maksudnya. Tinggi sasteranya. Dalam definisinya.

Dan definisi cinta itu termaktub dalam setiap inci hidup Baginda.

Baginda cinta akan kita.

"Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), 
melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam"
[al-Anbiya' : 109]

[Rasulullah SAW]
Kerana Baginda mencintai kita
:']
Habiburrahim

Bahasa...skema. Tak pernah buat. Entah. Nak cuba. Aman

1 comment:

nahmri. said...

Rasulullah juga berbicara dengan sebaiknya.

Maka,tidak hairanlah gaya 'skema' itu terhasil dengan baiknya.

Semoga Allah mengira tiap usaha kalian.

Gadgets By Spice Up Your Blog