Tuesday, May 5, 2015

Dan Berdarah Lagi



"Hamad..," Suara itu merengek.

Hamad memandang punca suara itu sekilas. Pandangannya terus dialih. Lali dengan rengek abang kandungnya. Telinganya kalis akan tembakan bunyian beramplitud rendah. Remeh! Sekelian kali dia menasihat, Alrad masih berdegil. Berkali-kali dia dimasukkan ke penjara, tapi ketagihnya belum hilang.

“Hamaad…” Lebih memaksa.

“Cukup Alrad!” Hamad melenting. Dia menjurus ke dalam blik abangnya. Alrad mengekori, pantas.

“Tamol!” Hamad menggengam bungkusan plastik dari atas laci abangnya. Digumpal semahu, Alrad cuba menahan. Namun ketagihannya melemahkan dia. Hamad pantas menghempap pil-pil itu ke lantai. Berkecai. Alrad terduduk spontan, cuba menjilat-jilat serpihan pil itu. Hamad lantas menendang sisi abangnya hingga tersembam ke sisi bilik.

“Umi abi dah tiada! Abang nak hancurkan lagi hidup kita? Sampai bila?” Hamad menengking. Mata Alrad mula bergenang.

Hamad mengutip serpihan pil itu, dicuba untuk mengaut semuanya agar tiada peluang ketagihan abangnya.

Namun, jauh di sudut hatinya, sayu mengenangkan nasibnya sekeluarga.

Memang, Tramadol, atau terkenal dengan nama Tamol disini,  sangat mudah dicari. Mungkin salah satu punca pendapatan utama sesetengah pihak, terutama mereka yang bekerja atau terlibat secara langsung dalam terowong bawah tanah penyambung hayat penduduk Gaza. Senang sahaja diseludup dari Mesir ke sini. Berleluasa.

Hendak disalahkan sang abangnya pun, berat hati Hamad. Kebanyakan remaja Gaza dalam ketagihan Tamol. Klise alasannya, berkisar tekanan keluarga, kematian sanak saudara, kehilangan kerja serta tempat berteduh. Tapi kalian datang sahaja ke sini. Tak terjejak tanah kalaupun berjinjit melangkah tanpa menyentuh kelongsong-kelongsong peluru. Tak terpasang telinga disini kalau mengharap sepoi-sepoi merdu nadanya. Takkan pernah kenyang kalau mengharap roti tersuap tanpa perlu menadah meminta.




Awan yang berkapas melindung terik mentari, suam sahaja suhunya. Sesuai benar untuk para keluarga meneduh. Angin yang lembut menyinggah kujur-kujur kegembiraan.

Suasana Pantai Gaza meriah. Ramai pengunjung. Tak kurang peniaga-peniaga yang mula mencari peluang keemasan. Makanan memang paling utama. Pemilik-pemilik kuda juga disini, menyediakan khidmat menaiki kuda kepada pengunjung.

Pantainya juga penuh. Setiap tiga empat depa sahaja mesti ada perenang yang bermandi manda, tak kira jantina dan umur.

Ini tempat wisata kegemaran warga Palestina.

“Abi...,” Sisi baju ayahnya ditarik perlahan, meminta perhatian.

Lelaki 30-an itu mengalih pandangan dari pantai yang terbentang luas ke wajah anak lelakinya. Ya?” Senyum terukir, meraikan.

Hamad menelunjukkan kasutnya yang belum terpakai selipar. Wajahnya murung.

“Hamad silap pakai. Ini terbalik.” Ayahnya membetulkan selipar Hamad. “Dah, dah boleh main pantai dah.”

Hamad sedikit membetulkan seliparnya. Kakinya menguis-nguis pasir pantai.

Ayahnya perasan. Terus dipegang kedua bahu anaknya, menenangkan. “Hamad lapar ke?”

“Tak.”

“Gaduh dengan abang Alrad?”

“Tak.”

“Hamad nak naik kuda?”

Senyap. Tak berbalas. Ayahnya sedikit terkeluh. Dirangkulnya Hamad erat. Mulutnya didekatkan ke telinga Hamad. “Hamad, kalau ada masalah, cerita tau. Bukan simpan dalam-dalam, hanyutkan ke pantai. Pantai takkan pernah bagi jawapan.”

Belum juga berbalas.





Genggamnya akan Tamol masih kuat. Keringatnya seakan takkan pernah tersisa.

Detik ini, awan hitam berhujan peluru pula yang memendung. Bila-bila masa akan hujan, hanya mereka tidak berpayung. Tidak akan pernah. Kalaupun ada, lantas bocor rentung segalanya.
Ah, kalaupun matahari masih sombong menghadirkan terang, biar penduduk-penduduk Gaza ini selak tirainya.

Abi…

Lebih lima belas tahun, baru hatinya berani menyuara menjawab soalan ayahnya, baru betul-betul masalahnya tak dipendam dalam-dalam. Pantai takkan pernah menunjukkan jalan.

Hamad sangat menanti kemenangan. 






Monday, April 27, 2015

Gementar



Kredit : Google

Takhtanya itu mewah amat, dibina seakan tersorot pada kemuncak cahaya yang mengirana sekelian penjuru. Agung tampaknya, gah melambang keagungan kuasa terkurnia. Teruah emas perak perbendaharaan pada dipannya, mengilat kilauan perbendaharaan pada busana diraja.

Ayunan tangannya menyemarak takbur, gelengan kepalanya bahkan mengobor gemerlap megah, peti suaranya menitah paling pongah;

"Firaun berkata : Wahai para pembesar kaumku, aku tidak mengetahui ada bagi kamu sebarang tuhan yang lain daripadaku.."
[Al-Qasas, 28:38]

Seakannya, belum sempat liurnya mencecah tanah sejurus tertitah, dahi segenap penduduk Mesir gementar mendahulu. Takburnya segunung, kuncup hati-hati para manusia takut akannya.

Sang Tiran itu Firaun, terkisah angkuh takburnya menitah Haman membina membina bangunan tinggi untuk mengetuk pintu langit Allah dalam Al-Quran. Takbur itu seakan miliknya, malah Firaun angkuh menolak sifat itu tersandar secara total pada asma-Nya, Al-Mutakabbir.

Mari kita teliti tafsir Al-Qurtubi pada kata Al-Mutakkabir; 'Dia yang yang Maha Tinggi dengan rububiyah-Nya dan tiada suatu yang menyerupai-Nya'. 

Tepatnya, takbur itu hanya milik Allah. Kesombongan menolak realiti ini mencampakkan iblis dari syurga kediaman ribuan tahunnya, meruntuh peradaban ratusan tahun kaum 'Ad, Thamud dan Hud, menista bijaksana Abu Al-Hakam dengan gelaran Abu Jahal, menenggelam dan melemaskan sang Tiran penguasa Mesir terindah.

"Wahai manusia, beribadahlah kepada Rabb kalian.."
[Al-Baqarah, 2 : 21]

Gementar kita akan Al-Mutakabbir harusnya seiring tunduk sujud akannya. Pun, masih berlengah?


Saturday, April 25, 2015

Taha dan Musa



i

"Sudahkan sampai kepadamu perihal Musa?"
[Taha, 20 : 9]

Hembusan sepoi-sepoi itu
merdu menyilang api marah
menyapa sendu wajah tegas yang berona - radang
membilah halus kilau pedang yang terhunus mapan
sang perkasa itu siaga
mawaitumu tekad memancung Al-Amin



ii

"Aku terlihat api, semoga terkurnia cucuhan daripadanya."
[Taha, 20 : 10]

Langkahan ke rumahmu itu sedang diatur,
Bukan darimu yang menghamburhembus bara; tapi
Tuhan yang meniup padam nyala

Langkahlah, wahai Umar
mampirlah
tersedia cahaya nan memimpin buatmu,
iman yang menghangat teruntukmu




iii

"Bukalah sepatumu, engkau di Wadi Tuwa yang suci."
[Taha, 20 : 11]

Tenggekmu mengapi tak lama, bahkan
tak rentung jasad perkasa biar berkali yihhfuzx
darah Fatimah mengelam sinar garang amarahmu
serpihan firman Taha seakan mengaca langkahanmu

Dan, engkau duhai Umar
membasah suci berangmu


"Dan Aku telah memilihmu."
[Taha, 20 : 12]


Gadgets By Spice Up Your Blog