Wednesday, July 31, 2013

Orang Yang Mempunyai PhD Dalam Usuluddin Juga Layak Untuk Masak Kuah Sardin

Seringkali, apabila ingin berkongsi tentang perkara yang baik, dan juga ilmu-ilmu yang baik, ataupun nasihat tentang perkara yang baik, kadang-kala terdapat suara sumbang yang akan menghalang niat suci dan murni kita itu. Sehinggakan kita kadang-kadang terasa seperti mahu berlari-lari anak kemudian bersembunyi di balik tiang kerana tak tahan dengan tohmahan dan tombakan daripada orang-orang sekeliling.

"Eh, hang ni dah la tak belajaq kat Mesiaq sana. Ada hati nak khabaq kat aku pasai solat."

"Kau ni engineer buat la gaya engineer. Nak belagak macam ostat pulak. Hak ptuih!"

"Berapa lama kau dah hidup bro? Aku lagi lama duduk bawah ketiak mak aku. Kau tak layak nak cerita kat aku pasal berdikari."

Dan macam-macam lagi kata-kata yang kurang lazat untuk dicerna di dalam jiwa raga. Sehinggakan kadang-kala kita termakan dengan provokasi daripada mereka dan terus sahaja bersetuju dan sain kontrak dengan mereka membuat akujanji bahawa kita tak akan menasihati atau berkongsi dengan mereka lagi tentang perkara-perkara kebaikan.

Temanku, ingatkah lagi As-Siddiq, Saidina Abu Bakr? Apabila sinar cahaya Islam memasuki jiwanya, dia serta merta mengislamkan 6 orang sahabat yang lain pada hari dia memeluk Islam juga. Waktu itu, Al-Quran berapa kerat sahaja yang sudah turun? Hadis? Hukum-hakam? Apa yang ada ketika itu hanyalah Tauhid dan Syahadah. Apabila fahamnya dia dengan Tauhid dan Syahadah, serta-merta disampaikan pada orang lain tentang apa yang difahami dan dirasainya.

Kita ini pula, perlu hafaz Quran baru boleh memberi peringatan. Study agama tinggi-tinggi baru boleh ingatkan tentang kebaikan. Menguasai hukum-hakam semua baru boleh bercakap tentang Islam. Sedangkan, banyak sahaja sahabat yang syahid ketika mereka masih belum tahu macam-macam. Iman mereka pula sangat-sangat solid dan mapan.

Sampaikanlah.

Sampaikanlah apa yang kita faham. Sampaikanlah apa yang kita tahu. Sampaikanlah apa yang kita rasa. Disamping itu, ingatlah bahawa kita ini insan. Insan itu memerlukan peringatan. Di saat kita lupa bahawa insan itu pelupa, di saat itulah kita rasa tidak perlu untuk memberi peringatan.  Apabila terlupa bahawa kita mudah lupa, bagaimana mahu beringat? Kita kadang-kala risau apabila ilmu itu kurang di dada. Tapi, mengapa mahu risau? Kita ini bukan sempurna. Banyak pula cacat celanya. Itu sebab kita memberi peringatan. Itu sebab kita menyeru ke arah kebaikan. Itu sebab kita berterusan tuntut ilmu hingga nyawa di pembaringan. Jika seseorang menyanyakan kita apa yang kita tidak tahu, cakap sahajalah kita perlu merujuk dahulu ustaz-ustaz berdekatan. Bukankah di dalam Al-Quran ada disebutkan,

“Kamu adalah sebaik-baik ummah yang diutuskan kepada manusia, kamu menyeru kepada ma’ruf dan mencegah daripada kemungkaran dan kamu beriman dengan Allah.”
‘Ali Imran: 110

Nah. Ayat ini tidak disebut bahawa sebaik-baik ummah itu ialah mereka yang sempurna tak ada cacat. Sebaik-baik ummah itu juga bukanlah yang suci dari dosa seperti malaikat. Tapi sebaik-baik ummah itu adalah mereka yang saling ingat-mengingat. Sebaik-baik ummah itu ialah mereka yang menyeru untuk taat.

Jadi, marilah kita sama-sama menyeru manusia untuk membuat kebaikan. Untuk minta orang buang sampah dalam tong sampah, perlukah untuk melemparkan nas dan hujah? Untuk minta orang basuh pinggan, perlukah untuk kita ada ilmu setinggi Gunung Tahan? Kalau kita nampak kesalahan yang common sense, tegur sahajalah kan? Tapi kalau ada nas dan hujah, boleh sahaja diberikan. Namun, ikutlah siapa yang kita tegurkan. Ada yang berkesan apabila dimarah, ada yang berkesan apabila berlemah lembut, ada yang berkesan jika diberikan nas Quran dan hadis, ada yang berkesan jika dikemukan hujah dan teori, ada yang berkesan apabila kita sering tunjukkan contoh, yang penting kita gunakan kebijaksaan kita untuk berhadapan dengan pelbagai ragam mereka yang bernama insan.

Kuah sardin oiiii... Sedap pekena waktu berbuka nanti. [Gambar]
Sebagaimana orang yang mempunyai PhD dalam Usuluddin layak memasak kuah sardin, begitu juga orang yang mempunyai PhD dalam Kejuruteraan layak untuk ajak kepada kebaikan.


*Sekadar membuat contoh untuk kasi sedap bunyinya. Hakikatnya, tidak kisahla PMR ke, SPM ke, Diploma, Degree, Master atau PhD dalam bidang apa-apa, semua orang layak untuk menyeru dan mengajak manusia untuk masuk ke SyurgaNya.

2 comments:

Inspector Saahab said...

wazakkir, fainna zikra tanfa'ul mu'minin :)

زليخا said...

betul....
mostly org selalu salah anggap..
ustaz2/ustazah2 je bagi peringatan nehh...
mentaliti masyarakat cenggitu..
patutnya kita sume wajib menyampaikan perkara baik tak kira pangkat apa sekaliponn..

Nabi ada cakap :
Sampaikanlah peringatan walau sepotong ayat.

Gadgets By Spice Up Your Blog