Wednesday, December 9, 2015

GIZA




Jemarinya menari-nari di atas buku yang dipegang. Risau. Bimbang. Tidak keruan.

“Janji pukul berapa?” Lelaki 30-an yang baru dikenalnya menyapa.

“Dua belas.” Ayid membalas sepatah. Jarinya masih menari-nari. Dalam keresahan, mood membaca terus hilang.

Lelaki 30-an tadi memeriksa jam lapangan terbang berdekatan. Dua tiga puluh pagi. Patutlaa…“There’s a golden rule to survive in Egypt.”

Ayid memaling muka ke arah lelaki itu.

Be patient.” Dia mengukir senyum.

Ayid membalas senyum. Palsu.


***


“Stranger.” Sepatah dia menjawab malas. Dia keletihan. Berbelas jam perjalanan menaiki kapal terbang, ditambah transit lagi, serasa penat.

“Tapi brader tu tunggu kau?” Wawan masih bertanya.

“Sebab kau lambat. Dia pun tunggu orang pick-up.” Ayid merebahkan beg sandangnya. Kawan lelaki 30-an tadi sampai terlebih awal daripada Wawan. Lelaki itu mengajak kawannya tunggu bersama. Ya lah, pukul 2.30 pagi, kesemua kedai di Lapangan Terbang Kaherah telah pun tutup. Yang tinggal mungkin hanya dua buah kedai runcit dan tandas. Lagipun, Ayid belum pernah menjejak di Cairo.

“Maaf, ada tentera tahan tadi. Ah, kau faham kan, Mesir…”

Ayid mengjungkit bahu. Dipandang kagum sekeliling rumah. Perabutnya baharu. Hampir kesemuanya. Hiasan dalam pun cantik-cantik. Malah nampak mahal. “Boleh tahan.” Rendah, spontan ditutur.

“Orang Mesir memang hidup macam ni. Luaran je macam lepas Holocaust.” Wawan merujuk kepada keadaan luar rumahnya. Dia pun, sesampainya ke Mesir pun begitu. Sepertinya melintas masa. Sejenak di hutan serba moden Kuala Lumpur, dan beberapa jam selepasnya dia seperti di zaman hitam putih. Sepertimana tergambar dalam filem-filem lama Pramlee, sebegitulah keadaan Cairo. Atau lagi tepat lagi, seakan terlihat Palestin di depan mata. Desain bangunannya sangat ketinggalan, dan buruk-buruk. Sesetengahnya seakan tidak siap, tapi diduduki. Malah, ada dibuat sebagai pejabat atau hospital. Bangunan yang kemas dicat boleh dikira dengan jari.

Ayid menyelak langsir. Diintainya jalanan dari tingkap yang kabur dan berdebu. Sampah-sarap yang merata-rata sepanjang jalan. Seakan-akan boleh dijejak. Matanya mengekor jejak sampah-sampah itu, dan pandangannya sampai ke satu tempat seperti pelupusan sampah. Tempat itu ditimbun sampah-sarap walaupun terpacak satu papan tanda berbahasa arab disitu. ‘Dilarang membuang sampah’, dia meneka.

Jalan rayanya juga sempit. Perumahan, dan bangunan-bangunan di situ tiada sistem longkang yang betul. Air-air sisa hanya dibiar mengalir ke kawasan yang lebih rendah. Malah, kereta diparkir rapat-rapat, tiada langsung ruang untuk membuka pintu. Belum diceritakan keadaan kereta-kereta disitu. Seakan tersadai, menunggu tarikh luput. Tapi masih diguna, ajaibnya.

Wait till next morning.” Wawan memecah sunyi.

Ayid membuka mulut. “How can you guys survive in this kind of environment?

“Seutuh-utuh piramid Giza pun mampu survive Mesir ni.”

Ayid mengangguk setuju.

Wawan masih menyusun beg-beg Ayid. “Over time, we’ve got moulded by it.”

***

Ayid memejam mata. Nafasnya ditarik dalam-dalam. Menyesal? Entah. Tapi ditahan segala mahu, dicegah segala daya daripada melafazkan. Nafasnya dihembus. Dan untuk kali ke berapa entah, nafasnya ditarik lagi. Sedalamnya.

Dia cuba membayangkan bunyi bingit hon kenderaan sekitarnya sebagai senandung yang terdendang lunak. Dikomposnya irama-irama sumbang itu seakan-akan padanan muzik orkestra. Gagal.

“Naik kereta lagi senang. Kadang-kadang upah pun diorang main letak je nampak muka bukan arab.” Wawan mengeluh akan permintaan Ayid.

“Mana nak rasa pengalaman negeri orang kalau tak lalui.”

“Jangan kata aku tak bagi amaran.”

“Err…tak jauh kan Sungai Nil tu?”

Dia memerhati pemandu tramco yang ligat memulas stereng tramconya, mencelah kereta-kereta di hadapannya. Dalam hatinya membentak, Wawan dah bagi amaran, kenapa tak ikut?

Tramco itu, boleh disamakan seperti kereta sapu di Malaysia. Tapi kenderaannya bukan kereta, van. Saiznya lebih kecil daripada van-van biasa di Malaysia. Tapi kalau disesakkan sang pemandu, boleh memuatkan hingga 30 orang.

Tramco yang dinaiki mereka hanya memuatkan 25 orang. Tapi dia sudah terasa kesesakannya.

Wawan memandang Ayid yang jelas kelihatan tidak selesa. Dia senyum ke arah Ayid, dan mengangkat kening.

Ayid membalas senyum terpaksa. Dia melepas keluh panjang. “Nanti pergi Giza kita naik kereta, ya?”

***





Hey!” Lelaki arab itu mengangkat tinggi tangannya. “Give me five!” Mesra dia menegur.

Wawan sekadar mengoyak senyum. Kepala tunduk sedikit tanda hormat. Langkahnya dibawa menghindari lelaki tersebut, ke Piramid Giza yang terpampang di depan mata.

Are you guys Malaysian?” High-fivenya yang tidak bersambut dihulur ke arah Wawan dan Ayid, tanda bersalam.

Yes, we are.” Ayid membalas.

I’ve got something for ya.” Dia menghulur segumpal kain. “I bet it’ll look good on you.”

Ayid menyambut. Wawan cuba menepis, tapi tidak sempat. Lelaki itu tersedia memakaikan kain merah putih di kepala Ayid.  “It’s called kafiyyah.”

That’ll be 10 geneh.” Dia mencarik senyum lebar. “Ringgit will do.”

Ayid buat muka terkejut. Haiii pakcik ni, agak-agak la. Tak minta beli pun. “I didn’t agree to buy this?

But, you’re wearing it.”

Ayid dah meradang. Kenapakah? “Take back what’s yours.” Dia melempar kain tersebut. “What the hell is wrong with you people?!

Wawan cepat-cepat menarik tangan Ayid. “Dah, jom masuk dalam piramid.”


***


They do that.

Ayid tidak menjawab.

“Terkadang, keadaan memaksa, Yid.” Panduan Wawan pun tak terkalahkan sang pemandu tramco tadi. Jalan di Cairo sesak. Entah berapa lorong yang wujud pun, Ayid sendiri keliru. Jalannya tidak berjalur, hanya berturap tar dan debu. Kereta-kereta bersesak-sesak merebut jalan masing-masing. Alamatnya, kalau tidak terbiasa, memang takkan pernah bergerak dari rumah.

“Mereka bukan hidup bermewah-mewah seperti kita. Pemerintahannya yang mencengkam golongan bawahan, sistem keagamaannya yang seakan candu untuk menenangkan hati golongan yang terhimpit, sistem sosial yang berkasta.”

Ayid masih diam. Bengang, mungkin. Wawan dapat rasakan sejak pertama kali Ayid masuk ke bandari Cairo malam pertama dia sampai. Sangkaannya semua berkecai.Mesir negara dunia ketiga, tapi mungkin Ayid belum pernah melihat dengan mata kepala sendiri. Sekadar membaca dan mengamat dari media tidak cukup. Dan berlanjutan ke keadaan tramco yang sesak, jalan yang berdebu, karakter orang arab yang suka menipu.

“Ini sebenarnya realiti. Kita berada dalam golongan bawahan, dan benda-benda macam ni takkan berlaku kalau circle of friends kita adalah golongan atasan.”

Ayid masih membisu.

They try to be strong, but it’s killing them.” Wawan memutar-mutar stereng. “Sepertinya kisah antara dua perwatakan Nabi Musa. Ketika dia bermusafir ke Lembah Tuwa, dia dengan rendah hati dan khuatir menerima perintah Allah untuk tetap menyampaikan Islam kepada Firaun.”

“Tapi Nabi Musa memilih untuk bertindak bengis kepada kaumnya yahudi apabila tahu mereka kembali musyrik sekembalinya baginda dari Thursina.”

“Kita belajar, dalam mendepani masyarakat Mesir, ada dua perwatakan Nabi Musa, bergantung kepada kasta masyarakat, dan tahap kederhakaan kepada Tuhan. Mendepani Mesir, kena pandai main personality. Ada keadaannya kau perlu terima seadanya, ada keadaannya perlu bertegas.” Wawan masih berceramah. “Stick to the Golden Rule, you’ll survive.”

Be patient. Terngiang nasihat lelaki 30-an itu. “I guess, there’s one rule above it.” Ayid bersuara. “Have faith in the Golden Rule.”


“And in Him.”


[GIZA]
Have faith
Us.

Friday, October 23, 2015

Menuntun ego



Fo Guang Shan temple, Auckland
Putera angkat itu lagikan gagap. Bicaranya bahan perlekehan. Latar sejarahnya keluarga hamba, bahkan terpalit gelap. Dia pernah terbunuh seorang Qibti. Dihadapan justeru sang tiran Firaun, angkuh mencibir bicara dan tuturan Musa, kalaupun tersedia maklum, Musa sememangnya membawa kebenaran.

"(Nabi Musa) berkata: "Sebenarnya engkau telah pun mengetahui: tiadalah yang menurunkan mukjizat-mukjizat ini melainkan Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi"
[al-Isra', 102]

Namun tiada ego raja Mesir itu tunduk akan bicara seorang hamba. Bahkan dia berteriak mencabar Hamman membinakan bangunan tinggi untuk mengintai Tuhan Musa.

Demikianlah, ilmu terkadang mencabar keegoan dan keangkuhan.

Berbahagialah wahai hati yang menuntun ego menurut ilmu, walaupun asalnya satu celotehan seorang pecacal terhina.

Kerna, di lintas sirah berikutnya, kita pelajari, tak suatu ego pun kekal saat kudrat tertarikkan Yang Maha Memiliki. Firaun mengalah, saat-saat karam dalam lautan,

"Aku percaya, bahawa tiada Tuhan melainkan yang dipercayai oleh Bani Israil."
[Yunus, 90]


[Menuntun ego]
Sepenuh cinta
Exam
Faris Nafiah



Sunday, September 6, 2015

Manikam yang Tercengkeram




Badan-badan yang bahkan pagan, merunduk lemah. Tatap-tatap penuh khusyuk dan cinta, beransur memerah, menyugul.

Dan tidak kurang, seupaya indra-indra yang tadinya celik, mengejap menahan esak. Titik-titik bening keterujaan di mata sahabat-sahabat berganti kaca-kaca jernih. 

Begitulah, respon sahabat akan khutbah wida' Muhammad alayhissalam sampai ke bait-bait baginda yang menyejarah. Tatapan nan purnama itu penuh kasih, lantas bibir yang lembut itu melantun, "aku tinggalkan kalian dua perkara, takkan sesat selagi kalian memegangnya, alQuran dan Sunnah."

Dan wasiat Sang Rasul ini membumi, dan masih tersisa gizi-gizinya sampai ke hari ini, kalaupun seluruh dunia berniat menggali. Sunnahnya terpelihara, kokoh dalam cengkerang manikam.

Muhammad tidak sekadar bayi ajaib yang memadam api Majusi dan meruntuh singgahsana Kaisar Kisra, tapi doa yang dimunajatkan Ibrahim; bukan sosok jujur tergelarkan al-Amin, tapi bicara permata yang terjalin hikmah tanpa dusta; bukan hanya tunjang yang meredupteduh tapi akar yang kurnia beruntai membenihkan cahaya.

Muhammad tidak sekadar pencerah segenap manusia, bahkan rahmat yang semesta.

[Manikam yang tercengkeram]
Faris Nafiah
Habiburrahim

Monday, August 10, 2015

Sujud Perhambaan



Sujudnya itu saat terindah solatnya. Posisi terdekat hamba kepada Tuhan. Menyembah seakan Allah bertakhta di hadapan. Dahi yang terjunjung di setiap bangun, mencium tanah penuh rendah, yang selayaknya pada posisi serendah-rendah alam.

Sejurus, tahiyyatnya pada kekhusyukan sama. Membisik melantun kalimah penuh berkah mengharap serta perhambaan syahadah. Shalawat keatas Muhammad saw sekeluarga serta Ibrahim alayhissalam.

Dan akhir solat dilengkap salam, menyempurna perhambaan dan menyambut lembut sapaan duniawi.

"Demi Allah, jika tidak kerana kalian beranggapan aku memanjangkan solat kerana takut mati, nescaya aku perpanjangkan lagi solatku.."

Dan sosok tubuh itu diheret keras ke kayu berpalang. Terikat dan seluruh masyarakat menyaksikan anggota-anggotanya terpotong.
[kredit]

"Relakah engkau digantikan Muhammad dan kamu selamat?"

Kudrat yang tersisa itu masih mampu menggagah bicara, "Demi Allah, aku tidak rela duduk selamat bersama anak isteri dan membiarkan Muhammad ditusuk duri."

Sejurus, pengamat-pengamat hukuman itu menjerit, "Bunuh dia!"

Dan tanah yang tadinya menyaksikan sujud sang hamba, menadah percikan darah sahabat itu.

Turut di barisan hadapan menyaksikan pembunuhan Khubaib adalah Said ibn Amir al-Jumahiy. Terkesan. Dan sering termimpi-mimpikan kejadian itu.

Dan umum tahu, Said ibn Amir al-Jumahiy memeluk Islam ekoran peristiwa itu, seterusnya menjadi gabenor Himsy yang sangat tawadduk dan zuhud.

Nyawa yang dikandung harus dikenderai, kalau ajal itu destinasinya; bukan sebaliknya.

Hidup para salihin salihat adalah perjalanan memilih cara terbaik untuk mati.
Kematian yang menggugah, atau hanya khabar yang terkubur sekadar kisah?


[Sujud Pehambaan]
Habiburrahim



Sunday, August 9, 2015

Bual Mesra



Terkisah, Umm Imarah alAnsari menemui baginda Sang Rasul saw dalam merintih kesah, membicara, "Wahai Rasulullah, aku melihat segala sesuatu itu berkaitan dengan lelaki sedangkan untuk kaum wanita tidak disinggung sedikit pun."

Adapun tersurat kesah sahabiah itu tidak meniatkan domba, apatah meragu. Ternyata, Umm Imarah lebih terkoyak sobek saat dirinya tidak disinggung Tuhan.

Maka, Allah menurunkan firmanNya, lantas membalas bicara Umm Imarah.

"Sesungguhnya laki-laki dan perempuan yang muslim, laki-laki dan perempuan yang mukmin, laki-laki dan perempuan yang tetap dalam ketaatannya, laki-laki dan perempuan yang benar, laki-laki dan perempuan yang sabar, laki-laki dan perempuan yang khusyuk, laki-laki dan perempuan yang bersedekah, laki-laki dan perempuan yang berpuasa, laki-laki dan perempuan yang memelihara kehormatannya, laki-laki dan perempuan yang banyak menyebut (nama) Allah, Allah telah menyediakan untuk mereka ampunan dan pahala yang besar."
[33:35]

Adalah agung, kepingan-kepingan firman Yang Mulia, menyahut bicara manusia tak terupaya.

Adalah agung, saat Allah Maha Sempurna merendah-rendah darjat kesempurnaan Sang Penguasa, membicara dengan bahasa hamba dina, agar terfahami seluruhnya.

AlQuran itu bicara dua hala, terhubung keterikatan langit dan bumi.

Selamat berbual mesra para pembaca surat CintaNya :)

[Bual Mesra]
Habiburrahim
Doa dan Quran



Tuesday, May 5, 2015

Dan Berdarah Lagi



"Hamad..," Suara itu merengek.

Hamad memandang punca suara itu sekilas. Pandangannya terus dialih. Lali dengan rengek abang kandungnya. Telinganya kalis akan tembakan bunyian beramplitud rendah. Remeh! Sekelian kali dia menasihat, Alrad masih berdegil. Berkali-kali dia dimasukkan ke penjara, tapi ketagihnya belum hilang.

“Hamaad…” Lebih memaksa.

“Cukup Alrad!” Hamad melenting. Dia menjurus ke dalam blik abangnya. Alrad mengekori, pantas.

“Tamol!” Hamad menggengam bungkusan plastik dari atas laci abangnya. Digumpal semahu, Alrad cuba menahan. Namun ketagihannya melemahkan dia. Hamad pantas menghempap pil-pil itu ke lantai. Berkecai. Alrad terduduk spontan, cuba menjilat-jilat serpihan pil itu. Hamad lantas menendang sisi abangnya hingga tersembam ke sisi bilik.

“Umi abi dah tiada! Abang nak hancurkan lagi hidup kita? Sampai bila?” Hamad menengking. Mata Alrad mula bergenang.

Hamad mengutip serpihan pil itu, dicuba untuk mengaut semuanya agar tiada peluang ketagihan abangnya.

Namun, jauh di sudut hatinya, sayu mengenangkan nasibnya sekeluarga.

Memang, Tramadol, atau terkenal dengan nama Tamol disini,  sangat mudah dicari. Mungkin salah satu punca pendapatan utama sesetengah pihak, terutama mereka yang bekerja atau terlibat secara langsung dalam terowong bawah tanah penyambung hayat penduduk Gaza. Senang sahaja diseludup dari Mesir ke sini. Berleluasa.

Hendak disalahkan sang abangnya pun, berat hati Hamad. Kebanyakan remaja Gaza dalam ketagihan Tamol. Klise alasannya, berkisar tekanan keluarga, kematian sanak saudara, kehilangan kerja serta tempat berteduh. Tapi kalian datang sahaja ke sini. Tak terjejak tanah kalaupun berjinjit melangkah tanpa menyentuh kelongsong-kelongsong peluru. Tak terpasang telinga disini kalau mengharap sepoi-sepoi merdu nadanya. Takkan pernah kenyang kalau mengharap roti tersuap tanpa perlu menadah meminta.




Awan yang berkapas melindung terik mentari, suam sahaja suhunya. Sesuai benar untuk para keluarga meneduh. Angin yang lembut menyinggah kujur-kujur kegembiraan.

Suasana Pantai Gaza meriah. Ramai pengunjung. Tak kurang peniaga-peniaga yang mula mencari peluang keemasan. Makanan memang paling utama. Pemilik-pemilik kuda juga disini, menyediakan khidmat menaiki kuda kepada pengunjung.

Pantainya juga penuh. Setiap tiga empat depa sahaja mesti ada perenang yang bermandi manda, tak kira jantina dan umur.

Ini tempat wisata kegemaran warga Palestina.

“Abi...,” Sisi baju ayahnya ditarik perlahan, meminta perhatian.

Lelaki 30-an itu mengalih pandangan dari pantai yang terbentang luas ke wajah anak lelakinya. Ya?” Senyum terukir, meraikan.

Hamad menelunjukkan kasutnya yang belum terpakai selipar. Wajahnya murung.

“Hamad silap pakai. Ini terbalik.” Ayahnya membetulkan selipar Hamad. “Dah, dah boleh main pantai dah.”

Hamad sedikit membetulkan seliparnya. Kakinya menguis-nguis pasir pantai.

Ayahnya perasan. Terus dipegang kedua bahu anaknya, menenangkan. “Hamad lapar ke?”

“Tak.”

“Gaduh dengan abang Alrad?”

“Tak.”

“Hamad nak naik kuda?”

Senyap. Tak berbalas. Ayahnya sedikit terkeluh. Dirangkulnya Hamad erat. Mulutnya didekatkan ke telinga Hamad. “Hamad, kalau ada masalah, cerita tau. Bukan simpan dalam-dalam, hanyutkan ke pantai. Pantai takkan pernah bagi jawapan.”

Belum juga berbalas.





Genggamnya akan Tamol masih kuat. Keringatnya seakan takkan pernah tersisa.

Detik ini, awan hitam berhujan peluru pula yang memendung. Bila-bila masa akan hujan, hanya mereka tidak berpayung. Tidak akan pernah. Kalaupun ada, lantas bocor rentung segalanya.
Ah, kalaupun matahari masih sombong menghadirkan terang, biar penduduk-penduduk Gaza ini selak tirainya.

Abi…

Lebih lima belas tahun, baru hatinya berani menyuara menjawab soalan ayahnya, baru betul-betul masalahnya tak dipendam dalam-dalam. Pantai takkan pernah menunjukkan jalan.

Hamad sangat menanti kemenangan. 






Monday, April 27, 2015

Gementar



Kredit : Google

Takhtanya itu mewah amat, dibina seakan tersorot pada kemuncak cahaya yang mengirana sekelian penjuru. Agung tampaknya, gah melambang keagungan kuasa terkurnia. Teruah emas perak perbendaharaan pada dipannya, mengilat kilauan perbendaharaan pada busana diraja.

Ayunan tangannya menyemarak takbur, gelengan kepalanya bahkan mengobor gemerlap megah, peti suaranya menitah paling pongah;

"Firaun berkata : Wahai para pembesar kaumku, aku tidak mengetahui ada bagi kamu sebarang tuhan yang lain daripadaku.."
[Al-Qasas, 28:38]

Seakannya, belum sempat liurnya mencecah tanah sejurus tertitah, dahi segenap penduduk Mesir gementar mendahulu. Takburnya segunung, kuncup hati-hati para manusia takut akannya.

Sang Tiran itu Firaun, terkisah angkuh takburnya menitah Haman membina membina bangunan tinggi untuk mengetuk pintu langit Allah dalam Al-Quran. Takbur itu seakan miliknya, malah Firaun angkuh menolak sifat itu tersandar secara total pada asma-Nya, Al-Mutakabbir.

Mari kita teliti tafsir Al-Qurtubi pada kata Al-Mutakkabir; 'Dia yang yang Maha Tinggi dengan rububiyah-Nya dan tiada suatu yang menyerupai-Nya'. 

Tepatnya, takbur itu hanya milik Allah. Kesombongan menolak realiti ini mencampakkan iblis dari syurga kediaman ribuan tahunnya, meruntuh peradaban ratusan tahun kaum 'Ad, Thamud dan Hud, menista bijaksana Abu Al-Hakam dengan gelaran Abu Jahal, menenggelam dan melemaskan sang Tiran penguasa Mesir terindah.

"Wahai manusia, beribadahlah kepada Rabb kalian.."
[Al-Baqarah, 2 : 21]

Gementar kita akan Al-Mutakabbir harusnya seiring tunduk sujud akannya. Pun, masih berlengah?


Saturday, April 25, 2015

Taha dan Musa



i

"Sudahkan sampai kepadamu perihal Musa?"
[Taha, 20 : 9]

Hembusan sepoi-sepoi itu
merdu menyilang api marah
menyapa sendu wajah tegas yang berona - radang
membilah halus kilau pedang yang terhunus mapan
sang perkasa itu siaga
mawaitumu tekad memancung Al-Amin



ii

"Aku terlihat api, semoga terkurnia cucuhan daripadanya."
[Taha, 20 : 10]

Langkahan ke rumahmu itu sedang diatur,
Bukan darimu yang menghamburhembus bara; tapi
Tuhan yang meniup padam nyala

Langkahlah, wahai Umar
mampirlah
tersedia cahaya nan memimpin buatmu,
iman yang menghangat teruntukmu




iii

"Bukalah sepatumu, engkau di Wadi Tuwa yang suci."
[Taha, 20 : 11]

Tenggekmu mengapi tak lama, bahkan
tak rentung jasad perkasa biar berkali yihhfuzx
darah Fatimah mengelam sinar garang amarahmu
serpihan firman Taha seakan mengaca langkahanmu

Dan, engkau duhai Umar
membasah suci berangmu


"Dan Aku telah memilihmu."
[Taha, 20 : 12]


Gadgets By Spice Up Your Blog