Sujudnya itu saat terindah solatnya. Posisi terdekat hamba kepada Tuhan. Menyembah seakan Allah bertakhta di hadapan. Dahi yang terjunjung di setiap bangun, mencium tanah penuh rendah, yang selayaknya pada posisi serendah-rendah alam.
Sejurus, tahiyyatnya pada kekhusyukan sama. Membisik melantun kalimah penuh berkah mengharap serta perhambaan syahadah. Shalawat keatas Muhammad saw sekeluarga serta Ibrahim alayhissalam.
Dan akhir solat dilengkap salam, menyempurna perhambaan dan menyambut lembut sapaan duniawi.
"Demi Allah, jika tidak kerana kalian beranggapan aku memanjangkan solat kerana takut mati, nescaya aku perpanjangkan lagi solatku.."
Dan sosok tubuh itu diheret keras ke kayu berpalang. Terikat dan seluruh masyarakat menyaksikan anggota-anggotanya terpotong.
[kredit] |
"Relakah engkau digantikan Muhammad dan kamu selamat?"
Kudrat yang tersisa itu masih mampu menggagah bicara, "Demi Allah, aku tidak rela duduk selamat bersama anak isteri dan membiarkan Muhammad ditusuk duri."
Sejurus, pengamat-pengamat hukuman itu menjerit, "Bunuh dia!"
Dan tanah yang tadinya menyaksikan sujud sang hamba, menadah percikan darah sahabat itu.
Turut di barisan hadapan menyaksikan pembunuhan Khubaib adalah Said ibn Amir al-Jumahiy. Terkesan. Dan sering termimpi-mimpikan kejadian itu.
Dan umum tahu, Said ibn Amir al-Jumahiy memeluk Islam ekoran peristiwa itu, seterusnya menjadi gabenor Himsy yang sangat tawadduk dan zuhud.
Nyawa yang dikandung harus dikenderai, kalau ajal itu destinasinya; bukan sebaliknya.
Hidup para salihin salihat adalah perjalanan memilih cara terbaik untuk mati.
Kematian yang menggugah, atau hanya khabar yang terkubur sekadar kisah?
[Sujud Pehambaan]
Habiburrahim