Thursday, January 24, 2013

Rasulullah SAW



Bukit itu dikerumuni sekalian manusia. Orang pasar, peniaga, pedagang, tak kurang para pembesar. Kesemua bola mata memandang susuk tubuh tersebut.

Terik matahari dibuat tak endah. Lelaki tampan itu membuka mulut.
“Wahai Bani Fihr, wahai Bani Ady, wahai semua kaum Quraisy!” teriakan itu melantun dari bibir yang tak lekang dengan senyuman. Lantang. Lembut bahasanya. Menyusup jelas ke dalam telinga sekalian pemerhati.

Penduduk Quraisy kesemuanya menanti bicara indah Sang Terpuji.

“Apa pendapat kalian sekiranya kukhabarkan sepasukan berkuda bersenjata lengkap mengepung, siap menyerbu Makkah dan melumatkannya?”

Bibir sekaliannya berebut menjawab lontaran tanya itu.
“Kami belum pernah mendengar khabar dusta darimu Muhammad!”
 “Benar.”
“Engkau yang bergelar al-Amin mana mungkin terlontar kata dusta.”

Dan lelaki indah itu masih dengan senyumannya. Indah. Terik matahari menyimbah seluruh tubuh penuh sempurna itu.

“Sesungguhnya, aku adalah pembawa peringatan dari sisi Allah sebelum datangnya…”

“Tabban laka ya Muhammad! Alihaadza jama’tanaa?!! Binasa engkau wahai Muhammad! Apakah untuk urusan seremeh ini kami dikumpulkan?!!” pantas bicara indah Sang Rasul itu dipotong lelaki tampan berkulit putih, bermata juling dengan telunjuk teracung marah pada susuk indah di atas bukit Safa.

Dan cemuhan itu turut diperhati si pemuda di sudut lainnya. Sudut yang sememangnya berlainan memang. Terpisah oleh dimensi masa dan tempat. Fikirannya menerewang. Bukan pada bicara hina duri dalam dakwah Islamiyyah itu. Bukan pada bicara saksi dakwah Baginda. Bukan pada kata-kata yang membenarkan setiap lontaran suara Sang al-Amin.

Tapi pada bicara ilmi Sang Nabi.
Pada tutur kata sempurna Sang Rasul.
Pada suara dakwah Sang Rahmat Sekalian Alam.

Mencari jawapan di sebalik kata.
Mencari jawapan dengan meletakkannya dirinya sendiri di Bukit Safa.

Apa mungkin seseorang dari kalangannya sendiri mengaku sebagai pembawa utusan kebenaran?
Bagaimana mungkin si ayahandanya, atau mungkin jiran tetangga, atau mungkin anak saudaranya sendiri mengaku sebagai Nabi.

Dan dia mula membayangkan sendiri perit jerih Baginda SAW.
Entah. Apa jawapannya?
Apa jawapan sanggupnya Baginda?

Wajahnya diangkat dari buku sirah tersebut. Baginda Rasul…

Mungkin, jawapannya helaian yang dikhatamnya berbulan-bulan yang lalu. Pada kisah kematian Abdullah ibn Ubay, Bapa Munafik sezaman dengan Rasulullah SAW.

‘Umar  mengah. Segala perbuatan kejahatan khianat Abdullah dihemburkan. Dia menghalang. Tegas menghalang.

Utusan langit itu masih dengan senyumnya. Lembut namun tegas. Tetap pada pendirian baginda.

Dan saat, detik itu menyaksikan nuzul at-Taubah, ayat 9.

(Orang-orang munafik itu) sama sahaja engkau meminta ampun untuk mereka atau engkau tidak meminta ampun bagi mereka. Jika engkau (wahai Muhammad) meminta ampun bagi mereka tujuh puluh kali (sekalipun) maka Allah tidak sekali-kali mengampunkan mereka yang demikian itu, kerana mereka telah kufur kepada Allah dan RasulNya dan Allah tidak akan memberi hidayah pertunjuk kepada kaum yang fasik.

“Hai ‘Umar,” sabda Sang Nabi, “jika sekalipun Allah memaafkan Abdullah ibn Ubay pada pohon keampunanku lebih tujuh puluh kali, akan aku pohon keampunan ke atasnya.

Jawapannya. Mungkin.

Mungkin juga pada kata-kata akhir Baginda Nabi.

Usia tua tidak memudarkan senyum indahnya. Wajah itu indah sekalipun di lewat usia. Peluh bersimbah pada wajah putih Baginda. ‘Aisyah menggenggam erat tangan RasulullahSAW.

“Apa nasib ummahku wahai Izrail?” Bibir indah itu lagi sekali menuturkan.

Adin menutup buku di tangan. Buku sirah. Kalau nak dikira, dah berkali-kali khatam muka-ke muka. Tapi ada persoalan berlegar pada fikirannya.

Jawapannya pada satu kata.
Cinta.
Love.
Lyubov’.
Amor.

Kerana cinta itu agung maksudnya. Tinggi sasteranya. Dalam definisinya.

Dan definisi cinta itu termaktub dalam setiap inci hidup Baginda.

Baginda cinta akan kita.

"Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), 
melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam"
[al-Anbiya' : 109]

[Rasulullah SAW]
Kerana Baginda mencintai kita
:']
Habiburrahim

Bahasa...skema. Tak pernah buat. Entah. Nak cuba. Aman

Saturday, January 19, 2013

Nemo's Lullaby




Dentuman rentak Hate - Plain White T’s sampai ke penghujungnya. Some Might Say – Oasis mengambil alih, menyapa telinga. Matanya masih pada album di riba. Dia duduk meriba album gambar di atas cadar polka dots. Helaian album diselak. Senyum nipis menyungging di bibir. Gambar bersama Farhana menyapa pandangan. Latar belakang, Strawberry Garden, Cameron Highlands.


“Sorry sayang. Ma can’t make it. Ma masih ada kerja di Auckland ni.” Riak wajah bersalah Mama terpamer di tetingkap Skype computer riba Anna.

Anna tersenyum menenangkan. “It’s okay la Ma. Anna faham. Anna tak kisah pun.”

”Nanti summer Mama balik, kay?”

“Ma janji nak bawak Anna jalan-jalan kat Terengganu kan? Ma kata nak cari batik.” Anna bertanya dengan kening terangkat.

“Yup dear. InshaAllah.” Mama menarik senyum di bibir. ”Dah siap packing?”

“Dah Ma.”

“By the way, ingat pesan Ma.”

“Okiey dokiey.”

“Jaga solat.”

“InshaAllah.”

“Quran pun sama.”

“InshaAllah.”

“Kismis 7 biji sehari, makan tak?”

“Makan.”

“Multivitamin?”

“Makan.”

“Dengar cakap cikgu.”

“Ai ai Principal!”

“Aih, perli Ma ye?”

Ketawa pecah. “You do sound overprotective sometimes Ma.”

Ma ketawa kecil. Lesung pipit terukir. “Do I need to send a bodyguard over?”


First school trip, lepas UPSR. Lawatan sambil belajar ke Cameron Highlands. Dan Ma tak sempat balik Malaysia nak hantarkan. Ada kerja di Auckland.

Dan besoknya, Ma hantarkan bodyguard.


‘He’ll keep an eye on you. Kalau rindu Ma, peluk Nemo ni.’

Kad hadiah Diseny’s diselitkan ke dalam poket. Anna memeluk Nemo gebu tersebut. Thanks Ma!


Anna menguatkan pelukan Nemo. Ma, rindu Ma!
Helaian album diselak lagi. Gambarnya bersama Ma di Terengganu menyapa pandangan. Sinar matahari kemerahan yang sedikit terbenam dek kedatangan malam menyimbah pipi Ma. Ma cantik!


“Anna, kenapa ni?” Ma menggosok-gosok bahu Anna. Anna memeluk erat Nemo. Bahunya ditongkatkan di atas kepala Nemo.

Anna senyap tak membalas. Dia menarik pandangan ke tingkap, cuba melarikan mata dari pandangan Ma.

“Anna…”

Aduh, kenapa masa ni mata terasa panas semacam. Macam nak…
…nangis…

“Anna…” Ma masih menggosok-gosok bahu Anna.

Anna membenamkan kepala ke dalam kepala lembut Nemo. Air mata tak tertahan, meleleh juga membasahi Nemo.

Ma membisu, mengeluarkan Sony Ericson dari dalam poket. Earphone diplug. Sebelah earphone disumbat ke telinga sendiri, sebelah lagi dihulur ke arah Anna. Senyap, tak berpatah.
Anna mengangkat muka dari Nemo. Matanya memerah dengan air mata yang masih bertakung.

“Music heals.” Ma menarik senyum.

Anna menyambut earphone, disumbat ke dalam telinga. Ma menekan butang play. Lagu Mr Brightside - McFly tersaji di telinga.

Ma memeluk bahu Anna dengan sebelah tangan, menggosok-gosok kecil bahu Anna. “Now, spill…”


Gambar di dada album terasa seksa untuk ditatap. Rindu Ma! Sungguh!

Ma sibuk. Sangat sibuk. Ke sana ke mari, tahap tak ingat. Tapi, Ma pegang pada prinsip Ma.
Ma tetap seorang ibu.
Ma tetap seorang isteri.
Ma tetap seorang muslimah.
Ma tetap seorang ahli perniagaan.

Dan Ma tetap seorang Ma.


Vios biru tua membelah laju lebuhraya ibu kota.
“Anna siapkan passport. Nanti Pa tolong simpan baju Anna.” Mata Pa masih pada jalan. Tak berpaling langsung memandang Anna.

Anna menggaru belakang kepala yang tidak gatal. “Kita nak ke mana Pa?”

“Auckland.”


Lobi Greenlane Hospital, Auckland.

MA TIPU!

Ma tipu! Ma tipu Anna!
Semalam Ma kata nak balik KL lagi dua minggu. Ma kata nak teman Anna beli barang-barang sekolah. Ma kata nak hentikan urusan perniagaan kat Auckland. Ma kata, nak quit. Gaji Pa seorang dah cukup nak tanggung sekeluarga.

Anna membenamkan wajah ke bahu Pa. Suasana lengang lobi Greenlane Hospital lengang diisi esak tangis Anna. Dia menangis meski kehabisan kudrat. Pa menggosok-gosok belakang Anna.

Ma tipu Anna…

Ma tipu. Ma naik turun Auckland dengan Mak Long Shida sebab nak jalankan pembedahan. Ma dah sakit lama. Pa tak pernah bagitahu.

Ma tipu…


Some Might Say – Oasis sampai ke penghujung. 

Ma tipu Anna…

Pahit memang sukar ditelan. Lagi-lagi, pahit sebuah kehilangan.

Air mata yang tertahan itu jatuh juga akhirnya, membasahi album gambar di riba.

"Jaga solat."
InshaAllah Ma.
"Quran pun sama."
Ma...
"Kismis 7 biji sehari?"
Ma...
"Multivitamin?"
Ma...

...rindu Ma...

Ma sakit barah otak.  Tapi Ma kuat. Ma tak pernah pamerkan kerisauan. Ma tak pernah ungkitkan kesakitan.

Ma tipu Anna.
Music won’t heal.
Nemo’s no bodyguard.
You are.

Dan pahit ini terpaksa ditelan.

***

Assalamualaikum warahmatullah…
Tangan kanannya meraup keseluruhan muka. Wirid pendek dibaca.

Tangan ditadah separa bahu.
“Ya Allah, Ya Ar-Rahman, Ya Ar-Rahim, ampunilah aku dan kedua orang tuaku, serta berilah rahmat kepada kedua-duanya, sebagaimana mereka mendidikku pada waktu kecil.”


[Nemo’s Lullaby]
At some point
You have to realize that
Some people can stay in your heart
But not in your life
Habiburrahim.




Tuesday, January 15, 2013

#VideoOsem2012: Seketul Daging

Mungkin ada yang tahu, mungkin ada yang tidak tahu. Krew Ashabul Islam juga ada menghantar video untuk Pertandingan Video OSEM APG '12. Yang bertanggungjawab atas video ini ialah Bumao, serta krew2 apartmen 604+603+402 yang lain.. Boleh la kot tengok-tengok andai mahu.


Kategori: ALIF
Tukang Buat Video: ashabulislam (Bumao)
Nama Video: Seketul Daging
Tema: Aku Bukan Robot (Tujuan Hidup)
Sinopsis: Mengisahkan 2 cotnoh kehidupan manusia yang berbeza pada umur dan pekerjaannya. Pada pandangan mata kasa, mereka seperti manusia biasa yang melakukan rutin harian seperti biasa. Akan tetapi, niat dan tujuan mereka untuk mencari keredhaan Tuhan membezakan segala-galanya. Seketul daging, yakni hati yang menguasai segala-galanya (yakni iman adalah mutiara di dalam hati manusia). Sesungguhnya manusia mempunyai niat dan tujuan hidup.

Oh dan Alhamdulillah video ini tersenarai sebagai Finalist. Semoga lepas ini Bumao akan lebih bersemangat dalam arena Fotografi dan Videografi langsung menyelitkan mesej-mesej Islam. Kita doa-doakan beliau. (^_^)

Monday, January 14, 2013

TAZKIRAH 1 MINIT

BismillahirRahmanirRahim.. Aku mohon perlindungan dariMu Ya Allah, jangan Engkau jadikan kelemahanku, kekuranganku, dan dosa-dosaku sebagai penghalang untuk aku menulis suatu kalam penulisan yang mampu menyampaikan sesuatu, sedikit daripada ilmuMu, secuit tentang ad-din yang Engkau redhai atas kami.

Menarik bagaimana Allah susun kronologi hidup ini. Semalam miskin, esok boleh kaya. Semalam sihat wal afiat, esok sudah pergi meninggalkan dunia. Semalam hari Ahad, esok hari Selasa. Sunnatullah.


Lagi menarik memikirkan bagaimana semalam, kita mengeluh kekurangan pada sesuatu, dan pada hari ini Allah menambahkannya. Dan ini, salah satu daripada banyak kisah; kisah tentang realiti hidup nikmat Allah yang kunjung tiba tanpa disangka. Kadang-kadang, kita ini terlalu mudah berputus asa. Letak diri anda pada tempat sebuah arang. Lama menahan suhu panas dan tekanan yang tinggi. Tetapi tidak juga menjadi berlian. Lalu anda mengeluh, "Ya Allah, dah lama aku menunggu, dah lama aku menahan bebanan dan ujian, mengapakah aku masih di sini, di takuk yang lama, belum menjadi berlian yang bersinar Ya Allah?"

Mungkin, belum masanya. Mungkin, Allah mahu kita terus berusaha. Kerana bak kata APG, "Jalan ini sumpah panjang." Manis itu ujian. Pahit itu ujian. Tawar itu juga ujian. Tatkala kita berdepan musibah, yakinlah itu ujian, atau mungkin kaffarah dosa kita. Tatkala kita berdepan nikmat kesenangan, ketahuilah bahawa itu juga ujian. Tatkala kita hambar, kosong, terasa tiada apa-apa, itu juga ujian. Ujian iman. Ujian taqwa. Ujian dan tarbiyyah dariNya. Saat itu, respond kita kepada sebarang permasalahan menggambarkan tahapan kita.

Saat kita melihat orang lain serba kekurangan, sementara kita serba kelebihan. Atau sebaliknya. Saat itu, iman kita diuji. Saat iman terasa melemah, apa tindakan kita? Bersahaja dan biarkan ia terus melemah, atau berusaha untuk terus meningkatkan? SMU. Sendiri Mau Ingat.

Panjang muqaddimah. Berbalik kepada cerita. 

Ditakdirkan Allah waktu Zuhur tadi aku berjemaah di surau, walau lambat. Punya lah liat. Lepas solat, aku perasan imam adalah seorang warga emas yang pernah aku jumpa dahulu. Di tempat yang sama, pada waktu yang sama. Keadaannya juga sama, menjadi imam. Usai berdoa, beliau menyampaikan tazkirah. 

Tazkirah 1 minit, katanya membuka bicara. Dibaca ayat ini. 
"Kullu nafsin zaaiqatul maut.. Fa innal mautal lazi tafirruna minhu fainnahu mulaqikum" 
Gambar dari: https://abunuha.wordpress.com/
Setiap yang bernyawa pasti merasai mati.. maka sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya itu pasti datang menemuimu. Topik yang sama dibincangkan seperti kali pertama pertemuan kami. Cuma kali ini, dia bercerita tentang pengalamannya yang lain. Kalau sebelum ini dia bercerita tentang dirinya, kali ini dia menceritakan kembali cerita yang diceritakan oleh sahabatnya sewaktu dia pergi ke KL tempoh hari. Sahabatnya seorang pesawah padi. Diceritakan suatu hari anaknya memanaskan enjin jentera sawah padi, kemudian pergi ke tandas. Lama dia tunggu anaknya sehinggakan enjin jentera sudah terlalu panas. Kemudian dia pergi check tandas, rupa-rupanya anaknya itu sudah meninggal. (Lebih kurang begitu lah ceritanya, andai ada tersalah, mohon maaf.)

Bercerita soal mati, bahawa mati itu pasti, dan kita tak tahu bilakah masa kita. Mungkin hari ni, mungkin esok, mungkin lusa. Lalu bagaimanakah pengakhiran kita. Dalam iman atau tidak. Lelaki tua itu menyambung lagi, bahawa dia sudah tua, dan dia tahu memang masa dia sudah tak lama. Di penghujung usia dia pun, syaitan masih tidak jemu mengajak untuk meninggalkan kebaikan. Syaitan menghasut, bahawa dia sudah tua, sudah lama beribadah, sudah lama solat dan puasa, godaan syaitan untuk dia meninggalkan zuhur berjemaah pada hari ini. Pada jam 12.45 pm, syaitan mengajaknya tidur sebentar. Tapi dia tetap sabar, tetap kuat, dan aku menjadi saksi dia menjadi imam dan mengingatkan kami tentang mati. Dia berpesan supaya kami mengingati mati, dia berkata, bahawa mungkin itu pertemuan kami semua yang terakhir, bahawa bila-bila masa sahaja dia akan pergi.

Tazkirah 1 minit. Tetapi mencucuk jiwa. Mencucuh ilham. Membakar hamasah.

Kadang-kadang, kita mengeluh, "Bagaimana mahu menyampaikan Islam?" Kita sibuk beralasan bahawa kita tak pandai, tak tahu bagaimana hendak menyampaikan Islam. Tapi sebenarnya, mungkin sebab kita tak menjiwai Islam, tak merasai Islam itu dengan sebenar-benarnya. Kalau kita betul-betul menjiwai Islam, kita akan beriltizam dengan Islam. Segala tindak-tanduk kita Islam. Perwatakan, bicara, pandangan, cara hidup, hubungan dengan manusia dan hubungan denganNya, even cara berjalan sekalipun menggambarkan keindahan Islam. Nahh. Bukankah itu sudah dikira menyampaikan Islam? Bukan dengan kata-kata semata. Bahkan andai kita sudah beriltizam dengan Islam, kata-kata juga tak perlu dirangka, kerana secara automatik kita akan bercakap dengan keindahan Islam, kebesaran Allah. Bercakap tentang iman.
Seperti pakcik imam itu tadi. Dia yakin dan pasti bahawa bila-bila masa sahaja dia akan mati. Lantas percakapannya mengingatkan kita kepada kematian. Mengingat mati, salah satu daripada ubat hati.

Dari Ibn Umar r.a, Rasulullah saw bersabda, “Sesungguhnya hati itu berkarat sebagaimana besi berkarat jika terkena air.” Tanya sahabat, “Ya Rasulullah, apakah pembersihnya? Sabda Baginda, “Banyak mengingati mati dan membaca Al-Quran.” [ Hadith Riwayat Al-Baihaqi]

Kita memberi peringatan. Pakcik itu, walau sudah berumur, mampu menggagahkan diri, memerah kudrat berjemaah sedangkan yang muda, bayangnya hilang entah ke mana. Aku rasa rendah diri. Sedangkan kudrat kita orang muda lebih gagah, tenaga lebih banyak. Tetapi kita liat berjemaah. Walau diterangkan tentang kelebihan berjemaah, tentang golongan yang dikurniakan naungan arasy di Mahsyar kelak. Tapi jiwa kita.. Masih tunduk dengan nafsu. Lagi aku malu, bahawa tanggungjawab dakwah tersandar pada bahu kita, umat Islam, tetapi kita culas. Mengabaikan tanggungjawab itu. Sedangkan pakcik itu, beliau sudah tua, tetapi tetap gigih memberikan peringatan. Kita yang muda? err.. "Dakwah tu bukan kerja ustat n ulamak ke?"

Kita memahami audiens. Tazkirah 1 minit. Nampak singkat kan? Dan mungkin, audiens tidak berat hati untuk duduk sebentar mendengar tazkirah 1 minit, dibandingkan tazkirah 7 minit, mahupun 10 minit, atau yang tidak diberitahu minitnya. Kerana kita manusia culas, berat hati untuk mendengarkan peringatan, apatah lagi mahu memberikan peringatan. Cara pakcik ini membuatkan aku terfikir, kalau kita mahu approach individu yang baru mahu berjinak-jinak dengan Islam, mestilah beransur-ansur. Janganlah terus kita ajak ke program 2-3 hari, kemudian bila mad'u (sasaran dakwah) kita menolak, kita hukum dia itu ini. erk. Pendekatan beransur-ansur. Menyesuaikan dirinya dengan pelajaran Islam. Mungkin mula-mula 1 minit, kemudian 5 minit, kemudian 7 minit. 10 minit, sejam, 2 jam, 3 jam, 4 jam. sehari, dua hari, 3 hari, seminggu. Sebulan. Lambat laun, walau bukan kelas pengajian Islam formal pun dia mampu belajar secara informal. Merasakan semuanya ada pengajaran, mengutip ibrah dari hidup.

Dan boleh jadi, tazkirah sekejap lebih sentap.

Dan coretan ini, menyelitkan beberapa pengajaran yang dapat aku kutip daripada pakcik itu. Bagaimana tazkirah 1 minit mencetus idea, di saat aku ketandusan ilham, kehilangan tempo, terasa kehilangan gaya. Alhamdulillah. Astaghfirullah.

Tazkirah 1 minit.
Ir Jinggo.
Gadgets By Spice Up Your Blog