Monday, January 14, 2013

TAZKIRAH 1 MINIT

BismillahirRahmanirRahim.. Aku mohon perlindungan dariMu Ya Allah, jangan Engkau jadikan kelemahanku, kekuranganku, dan dosa-dosaku sebagai penghalang untuk aku menulis suatu kalam penulisan yang mampu menyampaikan sesuatu, sedikit daripada ilmuMu, secuit tentang ad-din yang Engkau redhai atas kami.

Menarik bagaimana Allah susun kronologi hidup ini. Semalam miskin, esok boleh kaya. Semalam sihat wal afiat, esok sudah pergi meninggalkan dunia. Semalam hari Ahad, esok hari Selasa. Sunnatullah.


Lagi menarik memikirkan bagaimana semalam, kita mengeluh kekurangan pada sesuatu, dan pada hari ini Allah menambahkannya. Dan ini, salah satu daripada banyak kisah; kisah tentang realiti hidup nikmat Allah yang kunjung tiba tanpa disangka. Kadang-kadang, kita ini terlalu mudah berputus asa. Letak diri anda pada tempat sebuah arang. Lama menahan suhu panas dan tekanan yang tinggi. Tetapi tidak juga menjadi berlian. Lalu anda mengeluh, "Ya Allah, dah lama aku menunggu, dah lama aku menahan bebanan dan ujian, mengapakah aku masih di sini, di takuk yang lama, belum menjadi berlian yang bersinar Ya Allah?"

Mungkin, belum masanya. Mungkin, Allah mahu kita terus berusaha. Kerana bak kata APG, "Jalan ini sumpah panjang." Manis itu ujian. Pahit itu ujian. Tawar itu juga ujian. Tatkala kita berdepan musibah, yakinlah itu ujian, atau mungkin kaffarah dosa kita. Tatkala kita berdepan nikmat kesenangan, ketahuilah bahawa itu juga ujian. Tatkala kita hambar, kosong, terasa tiada apa-apa, itu juga ujian. Ujian iman. Ujian taqwa. Ujian dan tarbiyyah dariNya. Saat itu, respond kita kepada sebarang permasalahan menggambarkan tahapan kita.

Saat kita melihat orang lain serba kekurangan, sementara kita serba kelebihan. Atau sebaliknya. Saat itu, iman kita diuji. Saat iman terasa melemah, apa tindakan kita? Bersahaja dan biarkan ia terus melemah, atau berusaha untuk terus meningkatkan? SMU. Sendiri Mau Ingat.

Panjang muqaddimah. Berbalik kepada cerita. 

Ditakdirkan Allah waktu Zuhur tadi aku berjemaah di surau, walau lambat. Punya lah liat. Lepas solat, aku perasan imam adalah seorang warga emas yang pernah aku jumpa dahulu. Di tempat yang sama, pada waktu yang sama. Keadaannya juga sama, menjadi imam. Usai berdoa, beliau menyampaikan tazkirah. 

Tazkirah 1 minit, katanya membuka bicara. Dibaca ayat ini. 
"Kullu nafsin zaaiqatul maut.. Fa innal mautal lazi tafirruna minhu fainnahu mulaqikum" 
Gambar dari: https://abunuha.wordpress.com/
Setiap yang bernyawa pasti merasai mati.. maka sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya itu pasti datang menemuimu. Topik yang sama dibincangkan seperti kali pertama pertemuan kami. Cuma kali ini, dia bercerita tentang pengalamannya yang lain. Kalau sebelum ini dia bercerita tentang dirinya, kali ini dia menceritakan kembali cerita yang diceritakan oleh sahabatnya sewaktu dia pergi ke KL tempoh hari. Sahabatnya seorang pesawah padi. Diceritakan suatu hari anaknya memanaskan enjin jentera sawah padi, kemudian pergi ke tandas. Lama dia tunggu anaknya sehinggakan enjin jentera sudah terlalu panas. Kemudian dia pergi check tandas, rupa-rupanya anaknya itu sudah meninggal. (Lebih kurang begitu lah ceritanya, andai ada tersalah, mohon maaf.)

Bercerita soal mati, bahawa mati itu pasti, dan kita tak tahu bilakah masa kita. Mungkin hari ni, mungkin esok, mungkin lusa. Lalu bagaimanakah pengakhiran kita. Dalam iman atau tidak. Lelaki tua itu menyambung lagi, bahawa dia sudah tua, dan dia tahu memang masa dia sudah tak lama. Di penghujung usia dia pun, syaitan masih tidak jemu mengajak untuk meninggalkan kebaikan. Syaitan menghasut, bahawa dia sudah tua, sudah lama beribadah, sudah lama solat dan puasa, godaan syaitan untuk dia meninggalkan zuhur berjemaah pada hari ini. Pada jam 12.45 pm, syaitan mengajaknya tidur sebentar. Tapi dia tetap sabar, tetap kuat, dan aku menjadi saksi dia menjadi imam dan mengingatkan kami tentang mati. Dia berpesan supaya kami mengingati mati, dia berkata, bahawa mungkin itu pertemuan kami semua yang terakhir, bahawa bila-bila masa sahaja dia akan pergi.

Tazkirah 1 minit. Tetapi mencucuk jiwa. Mencucuh ilham. Membakar hamasah.

Kadang-kadang, kita mengeluh, "Bagaimana mahu menyampaikan Islam?" Kita sibuk beralasan bahawa kita tak pandai, tak tahu bagaimana hendak menyampaikan Islam. Tapi sebenarnya, mungkin sebab kita tak menjiwai Islam, tak merasai Islam itu dengan sebenar-benarnya. Kalau kita betul-betul menjiwai Islam, kita akan beriltizam dengan Islam. Segala tindak-tanduk kita Islam. Perwatakan, bicara, pandangan, cara hidup, hubungan dengan manusia dan hubungan denganNya, even cara berjalan sekalipun menggambarkan keindahan Islam. Nahh. Bukankah itu sudah dikira menyampaikan Islam? Bukan dengan kata-kata semata. Bahkan andai kita sudah beriltizam dengan Islam, kata-kata juga tak perlu dirangka, kerana secara automatik kita akan bercakap dengan keindahan Islam, kebesaran Allah. Bercakap tentang iman.
Seperti pakcik imam itu tadi. Dia yakin dan pasti bahawa bila-bila masa sahaja dia akan mati. Lantas percakapannya mengingatkan kita kepada kematian. Mengingat mati, salah satu daripada ubat hati.

Dari Ibn Umar r.a, Rasulullah saw bersabda, “Sesungguhnya hati itu berkarat sebagaimana besi berkarat jika terkena air.” Tanya sahabat, “Ya Rasulullah, apakah pembersihnya? Sabda Baginda, “Banyak mengingati mati dan membaca Al-Quran.” [ Hadith Riwayat Al-Baihaqi]

Kita memberi peringatan. Pakcik itu, walau sudah berumur, mampu menggagahkan diri, memerah kudrat berjemaah sedangkan yang muda, bayangnya hilang entah ke mana. Aku rasa rendah diri. Sedangkan kudrat kita orang muda lebih gagah, tenaga lebih banyak. Tetapi kita liat berjemaah. Walau diterangkan tentang kelebihan berjemaah, tentang golongan yang dikurniakan naungan arasy di Mahsyar kelak. Tapi jiwa kita.. Masih tunduk dengan nafsu. Lagi aku malu, bahawa tanggungjawab dakwah tersandar pada bahu kita, umat Islam, tetapi kita culas. Mengabaikan tanggungjawab itu. Sedangkan pakcik itu, beliau sudah tua, tetapi tetap gigih memberikan peringatan. Kita yang muda? err.. "Dakwah tu bukan kerja ustat n ulamak ke?"

Kita memahami audiens. Tazkirah 1 minit. Nampak singkat kan? Dan mungkin, audiens tidak berat hati untuk duduk sebentar mendengar tazkirah 1 minit, dibandingkan tazkirah 7 minit, mahupun 10 minit, atau yang tidak diberitahu minitnya. Kerana kita manusia culas, berat hati untuk mendengarkan peringatan, apatah lagi mahu memberikan peringatan. Cara pakcik ini membuatkan aku terfikir, kalau kita mahu approach individu yang baru mahu berjinak-jinak dengan Islam, mestilah beransur-ansur. Janganlah terus kita ajak ke program 2-3 hari, kemudian bila mad'u (sasaran dakwah) kita menolak, kita hukum dia itu ini. erk. Pendekatan beransur-ansur. Menyesuaikan dirinya dengan pelajaran Islam. Mungkin mula-mula 1 minit, kemudian 5 minit, kemudian 7 minit. 10 minit, sejam, 2 jam, 3 jam, 4 jam. sehari, dua hari, 3 hari, seminggu. Sebulan. Lambat laun, walau bukan kelas pengajian Islam formal pun dia mampu belajar secara informal. Merasakan semuanya ada pengajaran, mengutip ibrah dari hidup.

Dan boleh jadi, tazkirah sekejap lebih sentap.

Dan coretan ini, menyelitkan beberapa pengajaran yang dapat aku kutip daripada pakcik itu. Bagaimana tazkirah 1 minit mencetus idea, di saat aku ketandusan ilham, kehilangan tempo, terasa kehilangan gaya. Alhamdulillah. Astaghfirullah.

Tazkirah 1 minit.
Ir Jinggo.

2 comments:

Mawar Putih said...

sama juga seperti menulis,
perlu ada peringkat dan pemeringkatan.

moga Allah redha.

amerah fathin said...

syukran atas peringatan~

Gadgets By Spice Up Your Blog