Sunday, January 19, 2014

Roti itu



Sinar pagi ufuk timur menyimbah kerut usia di dahi sang tua itu. Bibir legap kerasnya terkumat-kamit. Ada bebelan yang tidak langsung dimamah benak. Sekadar ucap oleh hati yang penasaran. Keringat yang terperah melencun pakaian lusuh pemakai. 

Belakang tangan penuh urat dibawa ke dahi. Peluh terenjat dilap. Bibir belum puas melepas radang dengan bebelan. 

Sosok tinggi lampai itu sebak. Hati kecil cuba dikuatkan untuk melabuh cangkung di sebelah wanita buta itu. Bebel si tua dibiar ke dalam benak, tanpa dicerna. Berat hati untuk menghadam kata maki tanpa sepatah benar.




Alis jelas memaparkan kejernihan wajah. Langsung tidak hadir kerut di dahi.

"Mana mungkin agama membawa pecah? Mustahil!" Sang tua menghamun.

Bibir nipis itu mengoyak senyum ikhlas. Senyum itu tidak sirna dek panas mentari, mahupun maki hamun sang tua.

"Jangan pernah kamu mendengar syair Muhammad, nak." Si tua buta itu membebel dengan roti masih lagi dikunyah. "Syair Muhammad itu sihir!"

Jemari telus itu menekan-nekan roti untuk dilembutkan. Sekali lagi, jarinya menyuap lembut bibir yang keras membebel.




"Kamu datang lagi, ya nak?" Nada sang pengemis turun dua tiga oktaf. Senyum terkoyak pada bibir walau pandangan dibawa ke lain.

Yang mencangkung sekadar mengangguk mengiyakan. Roti dalam genggam dicubit lembut. 

"Lihat sahaja masyarakat kita," dalam bisik wanita buta itu menuturkan. Bebelannya belum habis. "...masyarakat berpecah!"

Abu Bakar tertambah sebak. Mata menahan tangis semahunya. Tangan yang hampir menyuap teragak-agak meneruskan. 

"Muhammad itu gila!" Nada naik lagi satu oktaf. "Jangan percaya kata-katanya."

Roti itu akhirnya menyua mulut. Sang buta itu mengunyah seketika, lalu diludah dengan jelek seluruh roti yang dimulutnya. "Penipu! Kamu bukannya anak yang selalu menyuapkanku."

Mana mungkin, berkat jari Sang Habibullah, bisik Abu Bakar, ada pada jemariku. Dan butir jernih keluar jua biarpun tertahan.


"Apabila kunawaitukan anakku untuk Allah dan Rasul, perancangan Allah berjalan dengan cara yang tidak mampu untuk aku membayangkannya." Tuan Haji Ahmad Azam, ayahanda almarhum Ahmad Ammar.

Sungguh agung kebijaksanaan al-Qadir, Yang Maha Merancang, dalam menentukan arus dakwah  daie cilik Ahmad Ammar. Dakwah beliau tidak mati kerana kematian. Lihat sahaja usaha dakwahnya yang diagung-agung seluruh masyarakat Malaysia. Ceritanya meniti bibir-bibir.

Qudwah Rasulullah saw mengajar erti sinar dakwah, seseorang daie, tidak putus setakat kematian. Biarpun mati itu suatu kerehatan, namun dakwah yang baik adalah dakwah yang takkan pernah mati.


"Apa baginda tidak pernah sesal dengan maki hamun aku?" Laras bahasa wanita itu berubah. Nadanya marah. Cuma marah itu lebih ditujukan kepada dirinya sendiri.

"Ajari aku Islam, nak."


[Roti itu]
Salam Rabiulawal 
Buat diri 
Yang mencintai Rasulullah secara bermusim
Habiburrahim

1 comment:

Anonymous said...

T.T

allahumma solli ala muhammad.
qudwah baginda.

dan benarlah. pada baginda itu punya Akhlak yang terbaik. subhanallah!

finally. update jugak.

Gadgets By Spice Up Your Blog