Sunday, June 10, 2012

Rumah Kayu Atap Zink Ep 1 :Qana'ah

     Angin bertiup kencang. Bunyi cengkerik tidak lagi kedengaran dek ngauman guruh dan perbalahan kilat yang saling menyabung. Hujan lebat seolah-olah mengetuk-ngetuk atap zink rumah kayu usang milik keluarga penoreh itu. Miskin, tetapi mereka sekeluarga hidup bahagia. 

     Walaupun pendapatan ibu bapa Ikhwan tidak seberapa, tetapi makan pakai mereka sekeluarga terjaga. Perbelanjaan untuk keluarga lima beranak itu sentiasa cukup untuk keperluan hidup walaupun tidak semewah hidup anak Dato' di bandar sana.


     Mungkin ini lah yang dikatakan sebagai barokah. Ya. Mereka tidak lah hidup mewah, tetapi hidup mereka senang. Segala keperluan cukup. Hidup dengan tenang di ceruk kampung tanpa memikirkan sebarang kemungkinan rumah mereka dipecah masuk pencuri, apatah lagi Jabatan Pencegah Rasuah datang menggeledah rumah mereka. 


****tamat muqaddimah, masuk kepada isu kali ini.. eheh.****

Sudah menjadi kebiasaan bagi keluarga itu untuk duduk berbincang sesama ahli keluarga, memikirkan tentang keindahan Islam, sama ada usrah, muzakarah adab,atau sesi tadarrus al-Quran. Sebuah Baitul Muslim.

"Ummi, Qana'ah itu apa?" Ikhwan mencelah tatkala ibunya sedang bercakap soal rezeki bagi sesi usrah malam itu. 



"Sebelum ummi jawab, ummi nak tanya Ikhwan 1 soalan." Puan Aisyah menarik nafas panjang.


"Ikhwan bahagia tak sekarang? Maksud ummi, dengan hidup kita yang serba kekurangan ni. Kawan-kawan ikhwan yang lain rumah batu, kita rumah kayu. Kawan-kawan ikhwan ramai yang hidup mereka mewah, tidak sedhaif kita." Puan Aisyah seakan-akan ingin menguji anak sulungnya itu.


"Kenapa pula tidak bahagia, Ikhwan punyai ummi yang cantik dan baik, Abah yang hensem dan gagah perkasa, adik-adik yang comel-comel belaka." 
Ikhwan tersenyum, matanya melirik manja ke arah ahli keluarga kesayangannya itu. Sayang benar dia dengan keluarganya itu. Pernah sekali dia hampir bertumbuk di sekolahnya gara-gara kawan-kawannya mengejek pekerjaan bapanya. Pantang maruah keluarganya dibawa main.


"Bila Ikhwan bangun tidur je, Ummi dan Abah sudah siap menunggu untuk berjemaah. Pergi ke sekolah pula bertemankan Abah, boleh berbual-bual, tak lah Ikhwan bosan. Mungkin orang lain pergi ke sekolah driver yang hantarkan, tapi Ikhwan punya Abah yang memahami, yang sabar melayan karenah Ikhwan membebel sewaktu pergi ke sekolah." 


Mata Ikhwan dan Abah bertentang. Seolah-olah keduanya mempunyai kuasa psikik, bercakap tanpa suara. Memang menjadi rutin hariannya menemani Ikhwan dan Farah ke sekolah setiap pagi. Mana tak nya, dari rumah hendak ke sekolah jaraknya 5 kilometer. Risau dia hendak membiarkan dua anaknya itu berjalan sendiri ke sekolah. Lebih baik dia berjalan bersama mereka, risau apa-apa terjadi pada putera dan puterinya yang masing-masing di Tingkatan 2 dan Darjah 4 itu. Lagipun, kebun getah peninggalan arwah datuknya itu tidak jauh dari sekolah.

"Balik sekolah pula, Ummi dah siap menyediakan bungkusan makan tengah hari. Kemudian kita boleh sama-sama makan bersama Abah kat kebun kita tu. Boleh tolong Abah. Buah-buahan pun ada banyak kat kebun buah kita sebelah kebun getah Abah tu." 


Ikhwan bersemangat bercerita. Kawan-kawannya selalu bercerita kisah ibu bapa keluar negeri, outstation, masing-masing bermegah dengan kerjaya ibu bapa masing-masing. Tapi dia mampu tersenyum sendiri, dia punyai keluarga yang bahagia, sentiasa meluangkan masa bersama.


"Hendak diceritakan semua nikmat yang Allah bagi dan pengorbanan Ummi dan Abah, sampai tahun depan pun tidak habis Usrah kita ni Ummi." Ikhwan mengukir senyuman. Terlalu banyak nikmat yang Allah kurniakan kepadanya hanya melalui keluarganya yang amat disayanginya itu, bahagia.


"Lagipun, kita ada tempat tinggal sendiri, kita tidak pernah lagi kebuluran, pakaian pun tersedia. Senang cerita, keperluan semua cukup." Ikhwan menutup bicara.


Ummi tersenyum, dari kecil dia menerapkan nilai syukur dalam diri anak-anaknya. Keperluan lebih penting daripada kehendak. Andai tersebut sahaja oleh anak-anaknya kisah rakan-rakan yang memiliki handphone sendiri, membawa ipad dan sebagainya, terus meluncur laju di mulut Ustazah JQAF sandaran itu tentang kisah saudara seIslam di Palestin, Iraq dan Bosnia yang menjadi pelarian, jauh sekali dari kemewahan.


"Qana’ah ertinya rela menerima dan merasa cukup dengan apa yang dimiliki, serta menjauhkan diri dari sifat tidak puas dan merasa kurang yang berlebihan." Ummi mengatur bicara.


"Rasanya tak perlu Ummi terangkan lebih-lebih tentang Qana'ah. Ianya dah memang sebati dalam diri kamu, sepertimana yang kamu berseloroh tadi." Matanya melirik ke arah putera sulungnya itu, syukur, beroleh anak yang tidak meminta-minta, apatah lagi mengamuk tidak beroleh apa yang dipinta.....


*    *    *    *    *    *    *    *
TAMAT EPISOD 1

Abdullah bin Amru r.a. berkata: Bersabda Rasulullah SAW: "Sesungguhnya beruntung orang yang masuk Islam dan rezekinya cukup dan merasa cukup dengan apa-apa yang telah Allah berikan kepadanya". (H.R.Muslim) lebih penjelasan di sini
     Benarlah, Allah Maha Pemberi Rezeki, tetapi sama ada kita bersyukur atau tidak dengan apa yang ada. Kalau kita bersyukur, kita qana'ah, kita merasa cukup dengan apa yang ada, sudah tentu kita tidak dambakan kemewahan hidup yang tidak perlu. Selagi kita tidak menghayati dan mengaplikasikan konsep Qana'ah ini, sampai bila pun kita tak akan merasa puas. Sentiasa ada sahaja benda yang kita inginkan, dan bila tak tercapai, kita kecewa.


*Cubaan pertama mengarang cerpen. Sori lah x best macam karya-karya Habiburrahim. 
entri pemujuk diri sebenarnya. eheh

5 comments:

Edward Ott said...

Great picture, cool blog

Ir Jinggo said...

Edward Ott: thank u :) *pon boley lah..eheh

Ikram Mohd Noor said...

heheh...

Fish in a Spacesuit said...

nice writing! bakat osem ;)
saya suka dengan hadis-hadis yg diselitkan. Jzkk

Ir Jinggo said...

Fish in a spacesuit: waiyyakum.. jzkkk atas support :)

Gadgets By Spice Up Your Blog