Wednesday, June 13, 2012

Rumah Kayu Atap Zink Ep 2: Insan Bermanfaat



"Amran, begini lah. Aku bagi masa seminggu untuk ko fikirkan." Dato' Kamal mengeluh, cawan kopi diletakkan atas meja, sambil menyalakan rokok Dunhill miliknya. Asap rokok dihembus ke tepi. Tahu benar dia, sahabat baiknya sejak sekolah rendah itu anti benar dengan asap rokok. 


Memudaratkan katanya, Majlis Fatwa Kebangsaan pun sudah mengisytiharkan bahawa merokok itu haram di sisi Islam. Pernah dia berfikir untuk berhenti, namun sukar. Itu pun sudah dia kurangkan, sedikit demi sedikit.


Amran termenung. Sukar untuk dia buat keputusan sendiri. Ini bukan hal kecil, tapi ini melibatkan tanah pusaka peninggalan arwah datuknya. Daripada hasil tanah ini lah dia memberi makan anak isterinya. Di tanah ini lah dia berbudi, membanting tulang membiayai perbelanjaan sekolah Ikhwan dan Farah.


"Nanti aku bincang dengan Aisyah dulu ok? Serba salah aku ni, tu tanah pusaka." Amran anak tunggal. Ibu bapanya sudah arwah, yang tinggal sekarang hanyalah Aisyah, Ikhwan, Farah, Haura' dan keluarga mertuanya.


"Ok lah. Aku faham, nak buat keputusan macam ni bukan mudah. Tapi ni lah pertolongan yang mampu aku hulurkan buat sahabat aku ni. Aku taknak berjaya sorang-sorang. Dulu, ko banyak tolong aku. Jadi sekarang, ini lah masa untuk aku balas." Dato' Kamal tersenyum. Tangannya menepuk-nepuk bahu Amran. 



     Sewaktu di sekolah dulu, Amran lah yang banyak membantunya dalam pelajaran. Amran pelajar pintar, tetapi keadaan keluarganya tidak membenarkan dia menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih jauh. Orang tuanya sakit. Ladang getah dan kebun buah seluas 2 hektar itu pula tiada siapa hendak usahakan. Amran membuat keputusan untuk berhenti setakat SPM. Kamal pula melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat dalam bidang Economi and Business Administration.


     Apabila baliknya Kamal dari perantauan usai menamatkan pengajian di bumi orang putih, bapanya terus menawarkannya jawatan selaku Executive Manager di bahagian Perladangan syarikat korporat milik keluarganya itu. Tetapi dia tidak mudah menerima jawatan tinggi terus, sebaliknya dia membuat keputusan untuk bermula dari bawah. Cari pengalaman katanya.


     Sekarang, dia sudah bergelar General Manager, syarikat itu sekarang dia warisi. Namun, walaupun setelah bergelar 'Orang Besar', berpangkat Dato', dia tak lupa akan sahabatnya Amran yang banyak membantunya dahulu.


"Ok lah, apa-apa hal, ko contact je aku. Nombor sama je, tak ubah-ubah. Assalamu'alaikum."  Dato' Kamal menghulurkan tangan, berjabat salam, sebelum beredar menaiki kereta Myvi SE miliknya. Sederhana orangnya, walau berpangkat Dato'.


Amran tersenyum. "Ingat lagi dia pada aku kat kampung ni."
*     *     *     *     *     *     *     *



Rasulullah SAW bersabda:



مَنِ اسْتَطَاعَ أَنْ يَنْفَعَ أَخَاهُ فَلْيَفْعَلْ

“Barangsiapa yang boleh memberi manfaat kepada saudaranya, maka hendaklah ia melakukannya.’ [ Shahih Muslim, kitab fadhail, bab ke-28, no. 132/2473. ]
Sedang Amran sibuk menerangkan kepentingan menjadi insan yang bermanfaat dalam majlis ilmu itu, Ikhwan mencelah.

"Tapi kan Abah, kalo orang yang kita tolong tu macam tak menghargai kita macam mana? Langsung tiada ucapan terima kasih, apatah lagi nak tolong bila kita memerlukan." 

Abah tersenyum. Dalam benaknya sudah tersedia 1 soalan untuk menjawab persoalan anaknya itu. Eh? Soalan dijawab dengan soalan?..
"Kita tolong orang untuk mendapatkan pujian manusia ke untuk mendapatkan keredhaan Allah, Ikhwan?"

Ikhwan terdiam. Terpaku. Terpana. Terkesima. Soalan Abah itu menusuk jiwa, hati, raga dan limpanya. "Ada betulnya kata Abah tu." Getus hati kecilnya.

"Apa lah sangat penghormatan di dunia kalau nak dibandingkan redha Allah yang membawa ke akhirat. Bukan boleh tolong kita kat padang Mahsyar pun." Ummi menambah. Tersenyum, manis riak wajahnya..

Alangkah bahagianya keluarga itu, selepas solat berjemaah, Ta'alim pula. Anak-anak pun senang berinteraksi dengan ibu bapa, supaya kekeliruan soal agama dapat dijelaskan. Walaupun rumah kecil, kayu pula, tapi rumah itu meriah, sunnah Rasul diimarahkan, majlis ilmu tidak ditinggalkan.

Usai bersoal jawab, Majlis Ta'alim pada malam itu ditangguhkan. Hadith yang kebetulan dibacakan pada malam itu mempunyai seribu makna pada diri Amran. Tiba-tiba dia teringat akan Kamal sahabatnya. Kata orang, Ukhuwwah fillah takkan berpenghujung. Teringat pula dia untuk menanyakan Aisyah soal tawaran sahabatnya itu.

"Puan Aisyah, sudikah anda untuk kita luangkan sedikit masa membincangkan masalah negara?"
"Eh orang tua ni, mengada-ngada bunyinya. Ya, sudah tentu sahaja saya sudi, wahai Perdana Menteri rumah kayu ku." Kedua-duanya tersengih, macam kerang busuk.

Rumah tangga ini masih utuh, masih diwarnai senda tawa walaupun sudah menjangkau umur 15 tahun. Masih segar di ingatan, kenangan ketika mereka mula-mula disatukan sewaktu keduanya berumur 21 tahun. Sayang antara keduanya tidak pernah pudar. Penangan Baitul Muslim di situ. Cinta yang sebenar, bersulamkan syariah, yang mendorong kepada sorgaNya.

Tiba-tiba, suasana bertukar serius, Amran dan Aisyah terdiam sebentar. Tangan Amran mengenggam tangan zaujahnya.
"Abang ada sesuatu nak tanya awak ni."

<-----BERSAMBUNG----->

RUJUKAN

3 comments:

Inspector Saahab said...

:')

Fishy said...

jangan lupa update sambungannya! menarik2. maaf bru baca.

Ir Jinggo said...

spacefishy: inshaALLAH.. dalam proses.. thnx :')
bg idea sikit.. heh

Gadgets By Spice Up Your Blog